Peniaga, ibu diperdaya Macau Scam lebih RM240,000

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Seorang ahli perniagaan dari Machang mengalami kerugian sebanyak RM140,679 manakala ibunya hampir RM100,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit menerima panggilan telefon melibatkan beberapa suspek yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia (TM) serta pegawai polis berpangkat sarjan dan inspektor 11 Februari lepas.

- Advertisement -

Katanya, suspek mendakwa identitinya digunakan untuk mendaftar talian membabitkan kes jenayah siber.

“Mangsa dikatakan turut terlibat dalam kes pengubahan wang haram melibatkan satu sindiket pelaburan.

“Mangsa yang menafikan penglibatannya dinasihatkan meminta bantuan suspek berikutnya bernama ‘ACP Dato’ Mohd Fazley’ yang berjanji akan membantu mangsa.

“Pada masa yang sama mangsa turut diarah menyerahkan maklumat perbankan internet iaitu nama pengguna dan kata laluan, serta nombor kad ATM dan nombor TAC akaun bank miliknya,” katanya pada kenyataan media semalam.

Shafien berkata, ahli perniagaan itu turut diminta memberi maklumat akaun bank ibunya atas alasan bagi mengesahkan sama ada ibunya turut terlibat dengan kes-kes berkenaan.

Beliau berkata, lelaki tersebut mendapati sebanyak 15 transaksi berjumlah RM140,679 telah dilakukan dari akaun bank miliknya serta hampir RM100,000 dari akaun bank ibunya bagi tempoh 11 hingga 15 Februari lepas.

“Suspek mendakwa wang tersebut dipindahkan sementara ke Bank Negara Malaysia bagi tujuan siasatan dan akan dikembalikan semula.

“Mangsa bagaimanapun berasa curiga apabila suspek menasihatkannya untuk membuat pinjaman bank,” katanya.

Ekoran itu mangsa telah membuat laporan polis pada 15 Februari lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu Shafien mengingatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dengan sindiket Macau Scam yang sentiasa menukar watak antaranya menyamar sebagai pegawai bank, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan mahkamah. – HARAKAHDAILY 22/2/2022