Majlis Syura tentukan kelayakan senarai calon PAS

Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH

ARAU:
Kelayakan senarai 12 nama calon PAS yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini akan ditentukan pada mesyuarat Majlis Syura Ulamak (MSU).

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Ustaz Hashim Jasin berkata, setelah selesai pembahagian kerusi, Majlis Syura akan mesyuarat tentukan kelayakan calon-calon yang akan bertanding.

- Advertisement -

“PAS tampilkan 12 calon dalam PRN Johor nanti dan Insya-Allah peluang ada dengan sokongan dan kerjasama rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya di sini hari ini.

Sabtu lepas, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu rundingan kerusi antara parti-parti komponen gabungan itu selesai dengan aman tanpa melibatkan sebarang perselisihan faham.

Perkara itu didedahkan pada Majlis Pelancaran jentera PN Pilihan Raya Negeri Johor di padang awam Taman Pasak Indah.

PRN Johor bakal menyaksikan pertembungan gabungan PN, Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Pada Pilihan Raya Umum lepas pembangkang yang bertanding menggunakan logo PKR memenangi 36 kerusi, Barisan Nasional (19 kerusi), manakala PAS satu kerusi.

PRN Johor diadakan ekoran BN memohon perkenan istana membubarkan Dewan Undangan Negeri biarpun masih mempunyai majoriti satu kerusi. – HARAKAHDAILY 22/2/2022

- Advertisement -