Isu keislaman: Dewan Ulamak PAS gesa pinda Perlembagaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) gusar dengan perkembangan terkini perundangan negara yang berkaitan kedudukan Islam, Mahkamah Syariah dan akidah umat Islam.

- Advertisement -

Ini dengan merujuk kes yang berlaku di Perlis melibatkan tiga anak Puan Loh yang dipaksa murtad setelah mereka memeluk Islam.

Sehubungan itu, DUPP mendesak semua pihak agar menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan bidang kuasa negeri-negeri dalam pentadbiran hal ehwal Islam.

DUPP dalam satu kenyataan hari ini menggesa pindaan Perlembagaan dalam Jadual Kesembilan senarai negeri untuk memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah bidang kuasa melakukan judicial review berhubung kes berkaitan umat Islam khususnya berkaitan pertukaran agama agar tiada lagi konflik seperti itu berlaku pada masa hadapan.

DUPP mendesak pihak berkuasa agama di setiap negeri segera meminda syarat pertukaran agama dengan keizinan ibu atau bapa dan bukan ibu dan bapa seperti yang ada di sesetengah negeri.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menggesa agar pihak-pihak yang berkepentingan peribadi sama ada atas platform agama ataupun politik kepartian menghormati hak kanak-kanak tersebut memilih Islam sebagai agama anutan mereka tanpa membuat sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang menghulurkan bantuan dan kebajikan kepada kanak-kanak tersebut dengan melemparkan tuduhan negatif bahawa wujud pemaksaan ke atas mereka agar memeluk Islam sedangkan pengislaman mereka dibuat dengan kerelaan dan persetujuan bapa kanak-kanak tersebut,” ujar DUPP lagi.

DUPP juga mendesak pihak kerajaan dan semua pihak agar memberi keutamaan kepada kemaslahatan tiga anak-anak Puan Loh yang telah memilih Islam sebagai pegangan akidah mereka agar tidak diusik dan dipaksa untuk kembali murtad.

“Umat Islam telah lama bersabar dan kita tidak mahu keharmonian agama yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan membakar sentimen dan kemarahan umat Islam,” kata DUPP.

DUPP juga mendesak dan mengesyorkan kepada pihak kerajaan untuk menubuhkan Jawatankuasa Mediasi Agama untuk memastikan kebajikan anak yang dipelihara oleh ibu atau penjaga yang bukan Islam agar diberikan keutamaan (the paramount consideration is the welfare of the children) dari sudut pemakanan, pendidikan sah yang lebih utama akidah mereka sentiasa dipelihara.

“Akhirnya, Dewan Ulamak PAS Pusat mendesak dan mengajak umat Islam agar sentiasa bersatu di bawah lembayung kesepaduan kalimah tauhid yang memerlukan kekuatan politik Islam (siasah syar’iyyah) bersama Perikatan Nasional untuk memastikan kedudukan Islam dan akidah umat akan sentiasa dijulang tinggi di bumi Malaysia tercinta. – HARAKAHDAILY 22/2/2022

- Advertisement -