Hentikan sentimen permusuhan antara agama

- Advertisement -

BARU-baru ini timbul isu berkenaan pengislaman tiga orang kanak-kanak yang telah diakui oleh Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri. Isu tersebut sebenarnya bermula pada Julai 2020, di mana bapa kepada kanak-kanak berkenaan tertarik dengan Islam dan telah membawa mereka untuk memeluk Islam.

Namun, perkara ini telah menimbulkan kekecohan buat umat Islam apabila sebahagian ahli politik telah membuat persepsi buruk kononnya penjaga kanak-kanak tersebut dan pihak berkuasa agama Perlis menculik dan memaksa mereka untuk memeluk Islam sedangkan mereka bersama bapa mereka melakukannya secara sukarela di Perlis. Malah keislaman kanak-kanak tersebut adalah di bawah persetujuan bapa mereka. Perkara ini sekali gus telah mencemarkan institusi agama Islam sebagai Agama Persekutuan. 

- Advertisement -

GAMIS merasa kesal dengan sentimen keagamaan yang dimainkan sebahagian ahli politik tersebut dalam isu ini yang boleh mencetuskan perbalahan dan perpecahan antara kaum dan agama. GAMIS menghormati keputusan mahkamah untuk memberikan hak penjagaan kepada ibu mereka, Puan Loh Siew Hong, namun GAMIS tidak akan sekali-kali bersetuju malah mengecam tindakan mana-mana pihak yang berusaha untuk mengembalikan agama kanak-kanak tersebut. 

Hak memeluk Islam adalah hak individu, mereka yang ekstrem dalam isu ini usah masuk campur dalam urusan pengislaman seseorang. Lebih malang dan memalukan ada juga beberapa ahli politik Islam yang tidak menyokong usaha pengislaman kanak-kanak ini. Isu ini bukan isu undang-undang semata-mata tetapi isu ini adalah isu agama. GAMIS memberi amaran kepada individu-individu atau mana-mana pihak yang cuba mengapi-apikan sentimen antara agama. 

Sebagai umat Islam, ayuh bersama kita menunjukkan solidariti dengan menyatakan sokongan kita terhadap kanak-kanak ini dalam isu pengislaman mereka kerana ini adalah isu yang melibatkan akidah umat Islam. Kepada ahli politik yang terlibat sudah-sudahlah bermadah kata, rakyat sudah muak dengan sentimen murahan seperti ini.

MUHAMMAD ARMAN FARIS OMAR
Pengerusi
Majlis Dakwah dan Kebajikan
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) 2022 – HARAKAHDAILY 22/2/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2426579567483064/

- Advertisement -