Bertani isi tempoh kuarantin Dato’ Che Lah

- Advertisement -

TUMPAT: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi mengisi tempoh kuarantin dengan melakukan aktiviti pertanian di sekitar kediamannya di ABE Residence, Taman Mimi Wakaf Bharu, di sini.

Beliau bersama seluruh ahli keluarganya telah disahkan positif COVID-19 dan sedang menjalani kuarantin yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia sejak tiga hari lalu.

- Advertisement -

Bekas Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan itu memberitahu, tempoh kuarantin dijalani membolehkan beliau meneruskan azam yang telah diletakkannya bagi tahun ini.

“Untuk menanam sekurang-kurangnya satu pokok satu hari. Jom kita bertanam, (sebab) bertani adalah satu ibadah,” ujarnya menyemarakkan kempen tersebut yang diperkenalkan Kerajaan Negeri Kelantan sejak dahulu kepada sektor tawakal itu.

Dato’ Che Abdullah juga sebelum ini giat menggalakkan kempen dan promosi seumpama serta menyokong pelbagai inisiatif pengembangan sektor pertanian di seluruh negara.

“Alhamdulillah saya boleh memberi tumpuan kepada usaha-usaha pertanian yang selama ini saya banyak kempen untuk bertani, menanam dan sebagainya,” ujarnya yang juga bekas Exco Pertanian Kelantan penggal dahulu.

Beliau juga banyak menggalakkan usaha pertanian secara individu, kelompok mahupun syarikat dengan mengusahakan tanah terbiar bagi merancak pertanian di mana antara penyumbang pendapatan ekonomi rakyat. – HARAKAHDAILY 22/2/2022

- Advertisement -