Twitter padam siaran kartun banduan Islam digantung beramai-ramai

- Advertisement -

AHMEDABAD, GUJARAT: Twitter telah bertindak memadamkan lukisan kartun yang sebelum ini disiarkan oleh Gujarat BJP melalui perkhidmatan rangkaian sosial dan mikroblog itu, yang memuji badan kehakiman India kerana menjatuhi hukuman mati terhadap 38 banduan didakwa terlibat dalam kes letupan bersiri di Ahmedabad pada tahun 2008.

Lukisan kartun itu cuba menggambarkan keputusan mahkamah khas di Ahmedabad, dalam kes berusia 14 tahun pada 18 Februari 2022 yang  mana 38 daripada 49 banduan telah dijatuhi hukuman mati dan baki 11 orang lagi dihukum penjara seumur hidup sehingga mati.

- Advertisement -

Imej kartun yang disiarkan oleh pengendali Twitter rasmi Gujarat BJP, @BJP4Gujarat, itu menunjukkan sekumpulan banduan Muslim berkopiah digantung bersama-sama pada satu tali gantung yang sama, lapor opindia

Di latar belakang lukisan kartun berkenaan, terdapat dua lagi lakaran lain. Satu daripadanya adalah lukisan letupan bom dan satu lagi menggambarkan bangunan mahkamah dengan bendera India di atasnya. 

Dalam kapsyen imej itu, tertulis perkataan, ‘Satyamev Jayate’ yang bermaksud ‘Kejayaan ialah kebenaran’. Slogan berkenaan sebenarnya terdapat pada lambang kerajaan India. Kapsyen pada kartun selanjutnya berbunyi, “Mereka yang menyebarkan keganasan, tidak akan terlepas.”

Bagaimanapun, penganut Islam di negara itu telah menyelar Gujarat BJP atas tindakan menyiarkan tweet kartun tersebut, sebagai niat jahat sebagai seruan untuk pembunuhan beramai-ramai umat Islam di negara itu. 

Tindakan Gujarat BJP itu yang didakwa sengaja menyalahgunakan keputusan mahkamah berkenaan turut menarik perhatian selebriti media sosial terkenal Amerika Syarikat, Prof Khaled Beydoun, yang menyelar BJP, parti yang diketuai Perdana Menteri India, Narendra Modi itu sebagai ‘mengerikan dan menyamai kartun Nazi dalam pra-Perang Dunia Kedua’. – Agensi

- Advertisement -