PAS miliki kekuatan di peringkat akar umbi

Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
PAS mempunyai kekuatan dan sokongan di peringkat akar umbi sehingga mampu mengharungi suasana politik tanah air sejak parti itu ditubuhkan.

Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, perkara itu dibuktikan di Kelantan yang diterajui PAS sejak hampir 31 tahun.

Begitu juga katanya di Terenggganu dan Kedah, PAS menerajui kerajaan dan bukan sekadar penumpang seperti dianggap Presiden Pejuang, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.

- Advertisement -

“Kita bekerjasama bukan bermaksud PAS menumpang parti lain. Ini kerana PAS mempunyai kekuatan tersendiri dan menjalin kerjasama dengan kumpulan yang juga mempunyai kekuatan tersendiri.

“Jadi kalau tuduh kita menumpang, itu tidak betul, malah rakyat faham PAS mempunya akar umbi yang kuat.

“Ini dibuktikan dengan keupayaan PAS mentadbir Kelantan, Terengganu dan Kedah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, Mukhriz pada wawancara bersama sebuah akhbar mendakwa PAS sebuah parti yang hanya mencari jalan untuk kekalkan kuasa dengan parti yang ditumpang.

Tuan Guru Hashim berkata, dakwaan pemimpin terbabit hanya sekadar andaian kerana mereka tidak memahami perjuangan PAS.

“Kadang-kadang nampak berubah tetapi ia keperluan semasa yang bersifat strategi. Teras perjuangan PAS perpaduan ummah yang menjadi tuntutan agama Islam.

“Perkara utama yang perlu difahami ialah perpaduan ummah kerana ia perintah Allah yang wajib dilaksanakan supaya kita bersatu dan berpadu bagi melaksanakan syariat Allah.

“Tuntutan ini wajib untuk kita bersama melaksanakannya, apabila kita menolak bermaksud kita berdosa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/2/2022

- Advertisement -