Doakan kesembuhan buat YB Dr Izani

- Advertisement -

SENJA semalam hati berdebar kencang menerima berita Exco Kerajaan Negeri, Dr Izani Husin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah COVID-19 yang menyerangnya masuk ke stage-4. “Ayah ke ICU sebab oxygen drop dan x-ray tak berapa comei Dr (doktor) royak. Dan dia terlalu banyak nyakit (sakit) kronik,” ringkas jawapan anakandanya Shahid lewat pesanan teks kepada saya.

- Advertisement -

YB Dato’ Mumtaz pula menyebut Dr Izani meminta maaf kepada sahabat-sahabatnya dalam ‘grup wasap’ Exco Kerajaan Negeri sebelum ke ICU. Saya makin termenung, memulas stereng kereta dengan fikiran yang kosong. Perasaan bercampur baur. Sedih, terkejut dan bimbang.

Ya benar, setiap hari COVID-19 menjangkiti ramai orang dan menyebabkan kematian yang tidak sedikit. Cuma Dr Izani adalah antara ikon dan watak utama khasnya dalam perang memerangi pandemik ini di negeri Kelantan. Bermula 18 Mac 2020 sewaktu negara mula mula ‘ditutup’ akibat COVID-19 sehinggalah ianya berlarutan kini.

Rakyat Kelantan sejak itu, setiap hari menunggu hantaran Facebook beliau untuk mengetahui bilangan kes semasa, prosedur operasi standard (SOP) semasa, dan apakah tindakan serta pelan segera kerajaan negeri khasnya untuk melawan virus ini.

Apatah lagi dengan kerjasama erat daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan swasta yang telah memberikan keizinan bangunan mereka digunakan sebagai pusat vaksin dan juga pusat kuarantin. Terima kasih Dr Izani.

Kini sewaktu saya menulis coretan ini, beliau masih bertarung dalam ICU dan doa kita semua diharap meringankan bebanan yang beliau hadapi.

Bapa ‘Kelantanku Bersih’

Dr Izani merubah satu stigma besar buat negeri Kelantan. Dahulunya ramai pembenci PAS dan pengkritik tegar Kelantan memainkan konotasi negatif bahawa negeri ini kotor. Kelantan kotor dan kotor itu Kelantan. Ini naratif yang dipulas sehingga ada mereka yang malas membaca dan yang tidak pernah menziarahi Kelantan, mulai percaya ‘skrip’ nakal berkenaan.

Di bawah kepimpinan YAB Dato’ Menteri Besar, Dato’ Ustaz Ahmad Yakob, Dr Izani mulai menggerakkan Kempen ‘Kelantanku Bersih’. Peruntukan dan bajet besar disediakan dalam usaha memastikan negeri ini selesa serta bersih dengan sistem pengurusan sampah, sisa pepejal, kumbahan dan sebagainya ditambah baik.

Bilangan tong roro serta lori kompaktor ditambah dari masa ke semasa hasil kerjasama erat dengan pelbagai agensi termasuklah menteri KPKT. Dengan itu, jadual pungutan lori sampah akan lebih tersusun dan mengikut nisbah tan sampah yang terhasil setiap hari.

Begitu juga dengan Kempen “Jupo Sapo Kutip Jangan Tohok Koksey” yang kini melekat dalam fikiran rakyat Kelantan. Malahan anak-anak kecil juga sudah pandai mempraktikkan amalan mengutip sampah dan memasukkannya ke tong sampah. Simple dan berbekas.

Dr Izani juga aktif menggerakkan NGO serta relawan tempatan dalam aktiviti gotong-royong dalam bandar, di tepian pantai, kawasan air terjun dan jeram serta kawasan kejiranan.

RIASAKUSA adalah singkatan kepada ‘riadah sambil kutip sampah’ yang disokong hebat oleh Dr Izani agar anak muda yang beriadah atau keluarga yang sedang berkelah, mengajar anak ajak untuk menghargai alam sekitar dengan cara mengutip sampah serta mendisiplin diri untuk tidak membuang sampah merata-rata. Ini juga simple dan mudah dilakukan.

Walaupun banyak lagi perkara yang ingin diceritakan berkaitan keprihatinan pimpinan kerajaan ini dalam menyantuni rakyat, namun cukuplah dahulu saya melakar sedikit jasa beliau dalam tulisan ini.

Harapan kita semua kini adalah agar rakyat Kelantan khasnya dan Malaysia amnya beramai-ramai menitipkan doa, mudah-mudahan Dr Izani lekas sembuh dan kembali bertugas, Insyaallah.

*YB Dr Izani Husin adalah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan

NAZMAN CHE IBERAHIM
Presiden
Pertubuhan PERTAHAN Kelantan – HARAKAHDAILY 20/2/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -