SEJAK Ogos 2021, Bumi Afghanistan telah kembali dipimpin oleh kumpulan Islam Taliban apabila pihak Amerika Syarikat tidak lagi memberi sokongan ketenteraan kepada Kerajaan Afghanistan di bawah kepimpinan Ashraf Ghani. Kemenangan Taliban mengusir Amerika Syarikat itu telah memberi tamparan yang hebat kepada musuh Islam di seluruh dunia.
GAMIS memuji usaha Kerajaan Malaysia melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah ke arah mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Afghanistan. YB Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menerima kunjungan hormat daripada Duta Afghanistan ke Malaysia, TYT Dr Moheb Rahman Spingar hasil dari susulan lawatan kerja YB Tan Sri ke Qatar bagi membincangkan peranan Malaysia dalam usaha membantu membangunkan Afghanistan terutama dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan.
Melihat perkembangan yang berlaku di Afghanistan setelah hampir 6 bulan bertukar kerajaan, GAMIS melihat usaha ke arah membaikpulih ekonomi sedang giat dijalankan oleh Taliban. Namun, hal ini akan lebih mudah dijayakan jika sekatan ekonomi dan pembekuan aset yang merupakan tulang belakang ekonomi Afghanistan ditamatkan. Dalam hal ini, negara-negara Islam seharusnya berganding bahu bagi memastikan usaha ini berjalan dengan baik demi menjaga kebajikan rakyat Afghanistan.
Seawal peralihan tampuk kepimpinan di Afghanistan, kerajaan baharu Afghanistan telah menegaskan bahawa mereka akan menjadikan Islam sebagai sistem negaranya. Hukum hudud, perundangan Islam dan cara hidup Islam termasuk pakaian kebangsaan Afghanistan kembali diamalkan khususnya dalam acara rasmi kerajaan. Islamofobia juga tidak lagi menjadi topik hangat yang dibicarakan dalam kalangan masyarakat bukan Islam di sana.
Oleh itu, GAMIS melihat usaha untuk memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara perlu diteruskan melalui program bantuan kemanusiaan ke arah memastikan kebajikan saudara seagama kita di sana terpelihara. Hal ini sejajar dengan sabda Rasulullah S.A.W:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ، وَتَرَاحُمِهِمْ، وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.
“Bandingan hubungan persaudaraan dalam kalangan orang-orang yang beriman (umat Islam) dalam hal saling menyayangi, bersimpati dalam kalangan mereka dan mengasihi laksana hubungan anggota dalam satu jasad, apabila salah satu anggota itu kesakitan, maka seluruh anggota jasad turut berjaga dan demam (merasai kesakitan).”
(Riwayat Muslim 2586)
Sebagai umat Islam, kita tidak sewajarnya termakan dengan berita palsu rekaan media Barat yang hanya memotretkan cerita buruk pasca peralihan kuasa yang berlaku di Afghanistan. Sebaliknya, kita harus sentiasa memberi sokongan terhadap segala usaha ke arah memartabatkan Islam di muka bumi ini.
Akhir kata, GAMIS menyeru seluruh umat Islam untuk sentiasa mendoakan agar kebangkitan Islam di Afghanistan dapat memberi kesan yang positif kepada negara-negara Islam yang lain termasuklah Palestin, Bumi Baitul Maqdis kita tercinta.
“Membangun Kesatuan Mahasiswa”
MUHAMMAD YUSUF NAZARUDDIN
Timbalan Presiden
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) – HARAKAHDAILY 18/2/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/175982485876128/posts/2422774701196884/