Apa salah kami perlu bayar pampasan mangsa 9/11?

- Advertisement -

KABUL: Sentimen umum di Afghanistan ialah Amerika Syarikat (AS) telah merampas wang milik 38 juta rakyat Afghanistan terhadap kesalahan yang tidak mereka lakukan.

Bagi Rizakullah, 35, mengambil wang daripada rakyat Afghanistan dengan alasan untuk membayar pampasan keluarga mangsa 9/11 ketika Afghanistan dilanda kebuluran adalah perbuatan keji.

- Advertisement -

Buruh di ibu negara Afghanistan bertanya mengapa penduduk negaranya dihukum.

“Untuk mencari 100 Afghanis (AS$1/RM4.2) sehari pun sangat susah. Saya tidak mampu membeli roti kosong untuk keluarga.

“Kami diasingkan dari tempat lain di dunia ini dan dihukum terhadap jenayah yang tidak kami lakukan,” katanya.

Pada 11 Februari lalu, Presiden AS, Joe Biden, menandatangani perintah mencairkan aset Afghanistan bernilai AS$7 bilion (RM29.3 bilion) yang kini dibekukan di AS, tetapi diasingkan dengan sebahagian untuk membayar pampasan keluarga mangsa 9/11 dan sebahagian lagi untuk bantuan kemanusiaan Afghanistan.

AS$3.5 bilion (RM14.6 bilion) diasingkan untuk mahkamah di AS menentukan sama ada boleh digunakan bagi menyelesaikan tuntutan keluarga mangsa 9/11.

Tindakan ini akan memufliskan Bank Pusat Afghanistan dan meletakkan negara yang sedia miskin dalam malapetaka ekonomi.

Mengikut Bank Dunia, kadar pendapatan di Afghanistan merosot hingga 18 peratus dalam beberapa tahun lalu dan menjelang pertengahan tahun ini, Pertubuhan Buruh Antarabangsa menjangkakan 900,000 orang akan kehilangan pekerjaan.

Sekatan AS terhadap Afghanistan sejak kumpulan Taliban mengambil alih pemerintahan Ogos tahun lalu, juga menghalang usaha pertubuhan antarabangsa membantu rakyat Afghanistan.

Kerajaan Emiriah Islam Afghanistan berpendirian bahawa aset berkenaan milik Afghanistan dan patut dipulangkan kepada negara itu.

“Simpanan Bank Pusat Afghanistan bukan milik kerajaan atau kumpulan tertentu, tetapi hak rakyat Afghanistan. Ia hanya digunakan untuk perlaksanaan dasar matawang, memudahkan perdagangan dan meningkatkan sistem kewangan negara,” kata jurucakap kerajaan, Suhail Shaheen.

Katanya, membekukan atau mencairkan aset secara sebelah pihak untuk apa tujuan pun adalah tidak adil serta tidak boleh diterima oleh rakyat Afghanistan.

Nasair Khan yang berhijrah dari Khogyani di daerah Nangarhar ke sini, lapan tahun lalu dan kini bekerja sebagai pekerja binaan bergaji hari, tidak dapat mencari kerja yang sesuai.

“Wang itu milik kami. Jika tidak dapat, kami akan terus sengsara,” katanya.

Kumpulan hak asasi manusia dan penganalisis memberi amaran bahawa AS$3.5 bilion yang diketepikan untuk bantuan kemanusiaan tidak cukup untuk membaiki keadaan di Afghanistan melainkan keadaan ekonomi dipulihkan.

“Mengagihkan AS$3.5 bilion untuk bantuan kemanusiaan kepada penduduk Afghanistan kelihatan pemurah, tetapi perlu ingat bahawa seluruh AS$7 bilion dari sudut undang-undang adalah milik rakyat Afghanistan,” kata Human Right Watch, minggu lalu.

Kembali di Kabul, Inzar Gul dari daerah Kapisa yang mencari kerja di Kabul apabila ditanya sama ada dia tahu mengenai keputusan Biden:

“Dunia sedang memerhati kami dihalang mendapat keperluan asas: makanan, pendidikan, pekerjaan, kesihatan. Perang memusnahkan kami.

“Apa salah kami? Kenapa kami perlu bayar?” – TRTWorld

- Advertisement -