Penyatuan ummah: Platform Melayu Islam demi kestabilan negara

- Advertisement -

“Usaha penyatuan ummah Melayu amat wajib dirintis bagi membina modal keupayaan dalam semangat serumpun bangsa dan sealiran agama. Melayu dan Islam adalah dua ramuan sakti yang amat penting untuk disatukan dalam hasrat membina modal keupayaan umat yang kuat.

“Bilangan Melayu Islam di bumi ini bukannya ramai. Melayu Islam yang berilmu, yang profesional, yang kaya, yang memiliki sifat-sifat towering personality (personaliti melangit) jauh lebih kecil.

“Pemisahan Melayu dan Islam dalam kafilah yang berbeza, masing-masing di bawah kepimpinan yang enggan bertemu, semestinya menambahkan lagi kelemahan ummah.

“Kesetiaan kepada perjuangan yang murni lagi suci haruslah mengatasi kesetiaan kepada individu atau kesetiaan kepada kumpulan.

“Berpijaklah kepada kenyataan, berpandulah kepada akal fikiran. Semarakkan semangat silaturahim, hayati semangat bermaaf-maafan bahawa Melayu itu bangsamu dan Islam itu agamamu.

- Advertisement -

“Budaya berpolitik yang sedang berlaku telah memunculkan ketaksuban baharu, menjelmakan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran bahawa kesetiaan kepada kumpulan wajib diutamakan daripada kepentingan kelangsungan ummah yang akhirnya manusia Melayu Islam terperangkap dalam perlumbaan mencari kesalahan dan mencari kelemahan antara satu sama lain dengan kata-kata yang diungkapkan mahupun tindakan yang dilakukan, semakin sehari semakin mengheret bangsa jatuh ke lembah yang lebih rendah.

“Akibatnya modal pengupayaan umat menjadi semakin lemah. Berapakah ketirisan yang akan terus berlaku lagi?

“Berapa ramai lagi yang tergamak menjadi pelakon opera, memakai topeng Islam dan topeng Melayu, mempersendakan umat dan memperdaya bangsa demi memenuhi nafsu sendiri?

“Bangsa Melayu bagaikan sedang menghitung hari untuk dapat terus bertahan di tampuk kuasa.

“Jika pertelingkahan terus memuncak, jika perbalahan terus berlanjutan, akan bertambah binasalah bangsa dan pada akhirnya tidak ada lagi pihak yang menang, kerana yang menang telah menjadi arang sementara yang kalah menjadi abu. Kukur apa kepada kukur, kelapa juga yang binasa.

Titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah utama berjudul, Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat bersempena Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh, Perak pada 14 Julai 2009 masih lagi sangat relevan dengan isu penyatuan ummah di Malaysia saat ini.

“Demi meningkatkan keupayaan modal umat, insan Melayu Islam wajib belajar dari kesilapan, wajib meneliti ketelanjuran yang telah dilakukan, dan kembali ke pangkal jalan serta melakukan pembetulan.

“Insan Melayu Islam hendaklah bijaksana mengenal kawan, hendaklah arif mengenal lawan; jauhkan diri dari berpatah arang berkerat rotan dan merenung akan pentingnya menjiwai semangat kiambang yang kembali bertaut selepas biduk berlalu.

“Jangan sampai umat Melayu Islam menjadikan dirinya kuda trojan memudahkan musuh masuk ke dalam kota bangsanya.” 

“Dalam hasrat mahu membina perpaduan yang lebih kukuh, bangsa Melayu perlu bijak mencari kejernihan dan membuang yang keruh bersandarkan semangat Islam itu adalah persaudaraan.

“Bangsa Melayu hari ini perlu berusaha mencari titik pertemuan supaya bangsa Melayu akan terus memiliki daya tahan dalam menghadapi gelombang dan arus globalisasi.”

Sengaja HarakahDaily mengimbas semula sedutan daripada titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam titah utama berjudul, Islam dan Melayu: Modal Pengupayaan Umat bersempena Muzakarah Cendekiawan Islam 2009 di Ipoh, Perak pada 14 Julai 2009, saat Baginda masih bergelar Raja Muda Perak ketika itu.

Amat mendalam, cukup bermakna dan sangat penting sebenarnya titah Baginda itu untuk berterusan dihayati buat renungan dan dijadikan amalan bagi bangsa Melayu Islam masa kini di Malaysia terhadap isu penyatuan ummah.

Jika diamati, ia ternyata senada dengan kandungan ucapan dasar Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-67 di Duyong Marina & Resort, Terengganu pada 6 Nov 2021.

Beliau telah menggariskan tiga prinsip penyatuan ummah dalam usaha mewujudkan sebuah pemerintahan yang aman dan sejahtera di Malaysia.

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menggariskan tiga prinsip penyatuan ummah yang disampaikan dalam ucapan dasar bersempena Muktamar Tahunan Pas Ke-67 di Duyong Marina & Resort, Terengganu pada 6 Nov 2021.

Prinsip itu ialah keadilan kepada seluruh manusia termasuk terhadap musuh; diikuti perpaduan ummah sebagai satu keluarga besar walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama; serta Islam memimpin, jadi semua perintah Allah SWT hendaklah dilaksanakan dengan sempurna, di samping menunaikan kewajipan dakwah kepada seluruh manusia yang tidak berpisah dengan politik.

“Usaha penyatuan ummah tidak mudah kerana memerlukan kesungguhan dan jiwa besar, saling bertoleransi dan bersabar demi mencapai kejayaan yang didambakan, namun, kita wajib menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan usaha perpaduan yang sedang dibina hari ini.

“Jangan mewujudkan sebarang perpecahan kerana sikap tamak, mementingkan diri atau dendam kesumat sehingga keputusan PRU-14 berulang lagi,” ucap beliau penuh tersirat dengan makna yang mendalam dan amat berkepentingan bagi penyatuan ummah bangsa Melayu Islam di negara ini.

Sehubungan itu, bagi mendapatkan pandangan terkini mengenai penyatuan ummah, kru HarakahDaily, wartawan YUSMAN AWANG dan SYAHIRAH SALLEH serta jurufoto/juruvideo MUHAMMAD ZHARIF ZULKIFLEE menemubual Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa di pejabat beliau di Jalan Pahang Barat, Off Jalan Pahang, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mengeluarkan pandangan mengenai isu penyatuan ummah di Malaysia saat ini, sebagai Presiden UMMAH, Mohd Zai Mustafa melahirkan kebimbangan beliau, andai Melayu Islam berpecah pada PRU15 kelak, perkara sama yang pernah berlaku pada PRU14 akan kembali berulang.

UMMAH  yang merupakan gabungan daripada ratusan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang konsisten memperjuangkan isu semasa yang menyentuh kepentingan umat Islam dan negara ini, ditubuhkan sejak April, 2017, susulan andaian berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu Islam, berkemungkinan kuasa politik Melayu akan terlepas kepada kumpulan lain, gabungan lain pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Bertunjangkan prinsip dan matlamat Islam adalah yang tertinggi, maka UMMAH telah mengambil ketetapan untuk memantapkan sistem kepimpinannya dengan melantik Mohd Zai sebagai Pengerusinya bermula 19 Januari 2020 demi memastikan UMMAH terus memimpin umat menuju ke era baru kegemilangan umat Islam di rantau Nusantara. 

Berikut sedutan temu bual HarakahDaily bersama beliau menyentuh tentang isu penyatuan Ummah.

Apakah pandangan UMMAH mengenai status penyatuan ummah di Malaysia sekarang ini?

Mohd Zai Mustafa: Sejak daripada 2017 lagi kita sudah berasa bimbang dengan keadaan yang berlaku dalam negara kita, dan kebimbangan itu sebenarnya sudah menjadi realiti.

Sebelum ini, parti politik pada waktu itu, yang  uatama saya rasa hanya empat sahaja iaitu Umno, PAS, PKR dan DAP yang kemudiannya telah membentuk gabungan-gabungan yang pelbagai. Namun mutakhir ini, parti politik yang melibatkan orang Melayu, saya kira sudah ada kira-kira tujuh hingga lapan parti.

Umno, Bersatu, PAS, PAN, PKR, Muda, Pejuang, Parti Bangsa Malaysia… kesemua parti-parti ini melibatkan orang Melayu. Jadi, kita melihat orang Melayu telah dipecah-pecahkan kepada parti-parti politik yang berlainan.

Saya fikir senario ini perlu diambil serius. Dari pecahan kaum dan agama di negara ini yang  tertinggi ialah orang Melayu sebanyak 61 peratus dan orang Islam (63 peratus), Cina (22 peratus), India (7 hingga 8 peratus), dan kaum-kaum lain (3 hingga 4 peratus).

Namun, dalam senario sekarang yang menyaksikan orang Melayu Islam dipisahkan oleh parti-parti politik berlainan, maka kekuatan (Melayu Islam) telah dipecahkan. 

Ini bermakna sekiranya 63 peratus kekuatan ini dipecahkan kepada tujuh dan lapan parti, tinggal lagi berapa peratus? Hanya tinggal 10 sehingga 12 peratus. 

Jadi, yang melebihi 12 peratus misalnya parti orang Cina yang solid mungkin dua atau tiga parti sahaja, yang mana ia mungkin akan mendapat kuasa lebih dalam negara kita.

Saya sebut satu contoh bagaimana apabila PH menguasai kerajaan, tindakan pertama sekali mereka mengangkat pendidikan sekolah-sekolah Cina. Sebagai contoh, mereka cuba mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Gagasan penyatuan ummah Melayu Islam yang terbesar di Malaysia adalah antara PAS dan Umno. – GAMBAR HIASAN

Kemudian mereka memberi geran atau peruntukan yang besar kepada sekolah-sekolah di bawah Pertubuhan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Dong Jiao Zong) dan mereka cuba merungkai tender. Tender-tender cuba dibuka kepada tender terbuka, bukan tender terhad.

Mereka lalu cuba membuat polisi-polisi baharu dalam pendidikan, mengubah sejarah pendidikan, kemudian mereka juga cuba untuk mempersoalkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang melibatkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mereka juga mempersoalkan zakat dan soal bantuan-bantuan zakat. Jadi semua perkara ini, kita dapat lihat ia jelas sekali cuba mengancam orang Melayu dan kedudukan agama Islam itu sendiri di negara (yang dulunya dikenali dengan Tanah Melayu) ini.

Sebab itu saya fikir, jika orang Melayu terus berpecah belah sama ada dalam bentuk parti politik dan dan juga dalam bentuk-bentuk lain, maka bagi semua NGO Melayu pula tidak perlu ikut berpecah. Kita semua perlu bersatu!

Walaupun NGO ada misi masing-masing, tetapi di bawah naungan semua NGO berkenaan ada kumpulan pengundi masing-masing…mereka layak mengundi, jadi mereka juga perlu bersatu.

Maka, kita perlu mencari suatu platform yang boleh membawa kepada penyatuan atau kesatuan kepada orang Melayu. Perlu ada satu platform dan kita tidak boleh berpecah!

Kalau kita berpecah lagi pada PRU15  kelak, saya fikir perkara yang sama akan berulang pada PRU14 dan masalah yang mungkin lebih teruk daripada PRU14 berkemungkinan berlaku dan berulang kembali.

Mohd Zai banyak menyalurkan buah pandangan yang bernas mengenai kepentingan penyatuan ummah di negara ini ketika ditemubual wartawan HarakahDaily di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Jadi, jangan ulangi ‘mimpi buruk’ tersebut. Semua parti-parti yang melibatkan orang Melayu perlu mencari satu formula, sama ada formula ‘coalition’ (gabungan) secara bersama ataupun formula secara teknikal, strategi untuk menghadapi pilihan raya, sama ada pilihan raya di peringkat negeri ataupun di peringkat parlimen.

Ia adalah supaya pilihan raya itu memberi kelebihan kepada penyatuan, berlakunya penyatuan politik orang Melayu; dan juga orang Melayu dari segi pengundi-pengundi mesti melihat ke hadapan bahawa mereka perlu mengundi atau membuat suatu pilihan (undian) yang tepat.

Ini kerana kalau undi orang Melayu berpecah, maka ia juga akan menyebabkan berlakunya perpecahan politik dan kuasa kita sebagai orang Melayu di negara ini akan terlepas kepada kaum lain.

Ada yang menganggap penyatuan Ummah antara UMNO dan PAS kini seolah-olah sudah gagal. Pada pandangan Tuan, apakah puncanya?

Saya tidak melihat Muafakat Nasional (MN)  itu sebagai gagal tetapi ia tidak diuruskan ataupun tidak diberikan perhatian yang lebih. 

Ini kerana pada pandangan saya, walaupun MN merupakan (gabungan) parti politik, tetapi pada pandangan kita sebagai NGO, kita mahu agar orang Melayu bersatu tidak kira apa pun parti politik mereka. 

Umno, PAS, Bersatu, Amanah, PKR, mereka mesti ada kesedaran bahawa mereka perlu mencari satu platform untuk bersatu.

Tetapi gagasan yang besar adalah parti politik Umno dan PAS. Kedua-dua parti ini telah membentuk satu platform gabungan iaitu MN dan telah dimeterai piagam; cuma mutakhir ini, ia kelihatan seperti gagal berfungsi untuk menyatupadukan orang Melayu.

Gagasan Tan Sri Annuar Musa agar satu pertemuan antara pemimpin politik Melayu dan NGO Melayu Islam harus diadakan sebelum PRU15 adalah sesuatu perkara yang perlu dipandang serius dan segera direalisasikan.

Jadi saya fikir, pemimpin-pemimpin politik Melayu Islam perlu berjiwa besar, perlu terbuka dan perlu segera untuk bertindak, demi menyelamatkan keadaan ini, supaya kejayaan yang dibuat itu tidak akan menemui kegagalan.

Kita melihat bahawa gagasan ataupun cadangan yang diutarakan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa baru-baru ini, agar satu pertemuan antara pemimpin politik Melayu dan NGO Melayu Islam harus diadakan sebelum kedatangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah satu cadangan yang sangat baik. 

Ia tidak menjurus untuk melihat terhadap kepentingan politik tertentu, tetapi melihat kepada kekuatan dan juga perpaduan ummah Melayu Islam itu tersendiri.

Sewajarnya cadangan itu disambut oleh semua pihak, sama ada di peringkat politik, NGO, ahli akademik mahupun tokoh agama, kerana perpaduan ummah ini mesti merentasi semua pihak.

Kepentingan penyatuan ummah ini bukan hanya untuk difikirkan oleh golongan politik semata-mata, tetapi  perlu difikirkan juga dalam kalangan ahli akademik, tokoh agama, anak muda, tokoh masyarakat dan rakyat.

Ini kerana, andai kata kita gagal menyatupadukan rakyat bagi mewujudkan perpaduan ummah, dan kita gagal mewujudkan Perpaduan Nasional di negara kita ini, negara kita akan kian akan mundur ke belakang dan tidak akan maju ke hadapan.

Adakah penyatuan Ummah ini akan berbalik semula seperti penyatuan ummah seperti ketika tahun 1973?

Kita boleh kembali melihat kepada lipatan sejarah. Merujuk pada masa lampau, kita sudah lihat jika gagal menyatupadukan rakyat dalam negara kita ini, akan berlaku pelbagai masalah.

Antaranya, Peristiwa 13 Mei 1969, kerajaan campuran pada zaman Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan ini adalah, saya lihat sebagai senarai pengajaran yang kita perlu ambil perhatian.

Jika kita tidak ambil perhatian, kemungkinan lebih (teruk) lagi berlaku. Lihat apa yang berlaku contohnya di negara-negara Arab (yang terbabit dengan perang sehingga rakyat yang terpaksa menangung akibatnya).

Tengok apa yang berlaku di negara-negara Asia misalnya terhadap orang Islam daripada etnik Rohingya, bangsa Uighur dan sebagainya.

Ia berlaku kerana, jika kita tidak bersatu padu dan hilang kekuatan, kita akan menjadi lemah dan negara kita akan terancam menyebabkan pihak luar akan boleh campur tangan dalam hal ehwal negara kita.

Jadi, perpaduan ummah menjadi satu perkara yang sangat penting kita kena jaga. Kita rasa mungkin kalau ahli-ahli politik mungkin hendakkan kuasa kepada kumpulan politik masing-masing, tetapi kalau kuasa itu sudah terlepas sebagaimana yang berlaku dalam PRU14 lalu, pada waktu itu kita akan sedar betapa sukarnya kita hendak mendapatkan kembali kuasa itu.

Ada yang beranggapan setelah Umno kembali berkuasa, penyatuan Ummah seperti sudah tenggelam. Apakah pandangan Tuan mengenai tanggapan tersebut?

Kalau merujuk kepada komen-komen di media sosial ia akan memperlihatkan bahawa apabila wujud Muafakat Nasional (MN) Umno jadi kuat. Dan kalau kita tengok senario dengan ada MN, Umno menang besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). Tujuh PRK, kemudian Umno menawan Perak, meraih jawatan Perdana Menteri, dan kini Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pula.

Jadi, semua ini memperlihatkan bahawa Umno sudah menjadi seolah-olah terlalu yakin yang ia sudah kembali mendapat sokongan rakyat.

Tetapi saya fikir, ini suatu keadaan yang sangat tidak baik kepada Umno kerana ia telah menampakkan Umno seolah-olah tamak kepada kuasa dan mula melupai asas penting kepada kemenangan mereka.

Sokongan rakyat kepada mereka adalah bermula daripada perpaduan ummah itu sendiri sebenarnya. Itulah hakikat yang jangan dilupakan sama sekali.

Mohd Zai tidak melihat Muafakat Nasional sebagai gagal seperti yang diuar-uarkan tetapi ia lebih kepada tidak diuruskan atau tidak diberikan perhatian yang lebih.

Kalau tidak dulu, keadaan dilihat tegang. Saya fikir hubungan Umno dan PAS tegang dulu di kampung-kampung, tidak bersatu padu. Tetapi selepas wujud MN, kita lihat di kampung-kampung, kenduri-kendara, program-program bersama diadakan, rakyat sudah bersatu di bawah MN.

Tetapi kalau Umno semakin bersikap sedemikian (melupai asas penting kepada kemenangan mereka), ia akan merungkai kembali perpaduan yang telah termaktub itu atas sikap ketamakan, sikap mahu lebih kuasa yang akan melemahkan asas-asas perpaduan yang telah dibina.

Saya quote kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa kerajaan hari ini terbina adalah daripada kerjasama dan juga sokongan daripada pelbagai parti politik, termasuk juga persetujuan bersama pembangkang.

Justeru, ini menunjukkan bahawa dalam keadaan genting sekalipun, kita semua wajib bersatu padu.

Suatu ketika dahulu, kita menghadapi pandemik Covid-19 dan keadaan ekonomi yang suram, justeru oleh kerana keadaan menjadi sangat genting ketika itu, kita sanggup buat apa sahaja untuk bersatu padu.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob pernah membuat ucapan bahawa kerajaan pada hari ini terbina adalah daripada kerjasama dan juga sokongan daripada pelbagai parti politik, termasuk juga persetujuan bersama pembangkang.

Jadi, kalau kita tinggalkan asas-asas ini, kita hendak kembali solo, dan beranggapan sudah kembali kuat, tidak menghargai pihak (parti) lain, saya fikir ini suatu sikap yang sangat tidak baik. Bukan sahaja kepada Umno, tetapi juga kepada semua pihak, sama ada pemimpin atau parti-parti politik lain.

Ini kerana suatu masa nanti, kekuatan itu akan berubah menjadi lemah semula. Apabila menjelma detik itu, ke mana mereka hendak pergi dan berjumpa dengan pihak mana pula (untuk mengembalikan semula kekuatan).

Pada pendapat Tuan, bagaimana pula impak penyatuan Ummah terhadap PRU15 kelak?

Kita memang berusaha menggerakkan secara besar-besaran, daripada sidang meja bulat dan mungkin nanti semasa Kongres Perpaduan Nasional, kita akan menyebarluas dan mempromosikan perpaduan ummah ini dalam kalangan rakyat Malaysia.

Ini supaya, kesannya nanti semasa PRU15, kuasa politik dan pentadbiran negara dipegang oleh orang Melayu Islam, tidak kira dalam bentuk parti mana.

Walaupun parti A, B atau C, perlu orang Melayu dan dikuasai oleh orang Islam. Saya yakin dan percaya bahawa jika orang Melayu dan Islam yang memegang kuasa dalam negara, ia akan menjadi suatu pentadbiran yang adil sebagaimana yang orang Cina dan orang India alami sekarang ini.

Orang Cina misalnya mendapat keadilan dalam ekonomi, bebas dan kaya dalam negara kita. Mereka menjadi orang yang berpendidikan dalam negara kita, dan mereka menjadi kaum yang kuat.

Penyatuan ummah Melayu Islam di Malaysia merupakan asas kepada jaminan kesejahteraan dan kemakmuran negara yang berbilang kaum ini. – GAMBAR HIASAN

Begitu juga orang India, ada dalam kalangan mereka meraih kejayaan, jadi tokoh korporat, dan juga merupakan kaum yang terbela di negara ini. Cuma saya rasa khusus buat orang India, kerajaan perlu beri lebih perhatian untuk meningkatkan dari segi pendidikan dan sosioekonomi mereka.

Begitu juga dengan kaum lain yang ada di Sabah dan Sarawak. Dan saya berpandangan bahawa orang Melayu adalah yang paling halus budi bahasanya, cukup bertimbang rasa.

Kalau orang Cina hidup dalam kalangan orang Melayu…dalam kampung orang Melayu, maruah dan keselamatan mereka masih terjaga.

Saya tidak pasti jika orang Melayu hidup bersama-sama kaum lain. Kalau di kampung kaum  lain saya tidak pasti, tetapi kita boleh beri jaminan bahawa sekarang ini belum dengar kaum lain yang tinggal di kampung Melayu, di taman perumahan orang Melayu, mereka dipinggir dan dipencilkan.

Hatta, pengalaman saya sendiri, datuk saya dahulu, dia sendiri berusaha menyembunyikan orang Cina di hutan daripada orang Jepun yang menjajah negara kita.

Maknanya, sampai begitu sekali orang Melayu punya belas ihsan dan semangat keakraban terhadap rakyat negara ini yang berlainan bangsa dan agama. Adil itu wujud dalam kalangan orang Melayu. Kenapa? Kerana (ajaran) agama Islam yang ada dalam diri mereka.>>>(Ikuti wawancara dengan Mohd Zai Mustafa selanjutnya dalam Harakah cetak)<<<<

- Advertisement -