ABDULLAH al-Umari telah menulis surat kepada al-Imam Malik dengan mengajaknya agar bersendirian untuk mempergiatkan amalan ibadat dan meninggalkan majlis ilmu bersama masyarakat.
Lalu al-Imam Malik membalas dengan menulis suratnya: “Sesungguhnya Allah telah membahagikan amalan seperti Dia membahagikan rezeki. Justeru, mungkin seorang lelaki itu dipermudahkan untuk solat tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang lagi dipermudahkan untuk bersedekah tetapi tidak dipermudahkan untuk puasa. Seorang yang lain pula dipermudahkan untuk berjihad tetapi tidak dipermudahkan untuk solat sunat. Maka menyebarkan amalan adalah di antara amalan kebajikan yang terbaik. Saya reda dengan apa yang Allah permudahkan untuk saya. Saya yakin apa yang saya lakukan tidak kurang daripada apa yang anda lakukan. Saya juga berharap agar kita berdua berada di atas kebaikan. Setiap seorang daripada kita juga wajib meredai apa yang Allah bahagikan kepadanya. Wassalam.” [Siyar A‘lam al-Nubala, 8/114].
Setiap manusia berbeza dalam amal ibadah sunatnya, maka beristiqamahlah di atas amalan yang sentiasa kita lakukan.
Terkadang orang itu lebih suka untuk mengamalkan puasa sunat manakala orang lain lebih suka mengamalkan solat sunat. Begitu juga ada orang yang suka bersedekah. Apa yang penting ialah kita ada amalan sunat yang kita sentiasa beristiqamah dengannya.
Begitu juga jangan sesekali kita memandang rendah kepada orang lain kerana tidak melakukan amalan yang kita lakukan. Boleh jadi dia ada amalan lain yang kita sendiri pun tidak mampu melakukannya. Mudah-mudahan Allah permudahkan kita semua dalam beribadah kepadanya.
YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 17/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!