SAYA bersetuju jika kerajaan benarkan pengeluaran KWSP RM10,000 untuk pencarum yang terjejas. Ucapan saya pada 1 November 2021 boleh dilihat di pautan https://www.facebook.com/watch/?v=1248533805632838 bahawa saya bertanya apa lagi halangan kerajaan untuk membenarkan pengeluaran RM10,000 ini?
Isunya ialah, kenapa Perdana Menteri dari Umno masih belum benarkan lagi? Bukankah sebahagian pemimpin Umno sendiri yang putuskan bahawa ia wajib diberikan kepada pencarum yang terdesak? Itu yang saya tanya dalam ceramah di Johor dua hari lepas.
Datanglah jawapannya, bahawa Perdana Menteri mahu laksanakan, tetapi Menteri Kewangan tidak mahu. Ia boleh sahaja dihujahkan sebenarnya, wujudkah arahan Perdana Menteri itu? Tetapi tak apalah kita terima dulu hujah ini bahawa Perdana Menteri memang mahukan pengeluaran I-Citra ini selaras tuntutan beberapa pemimpin Umno, tetapi ‘Menteri Kewangan yang enggan’.
Tapi apa cerita pula dengan kenyataan Pengarah Ekonomi Pejabat Perdana Menteri ini? Bukankah Saudara Shahril Hamdan ini juga merupakan Ketua Penerangan Umno?
Ooo, ada lagi naratif, kenyataan ini tidak mewakili Umno. Baiklah, jadi mewakili siapa? Bukankah ia mewakili polisi ekonomi Perdana Menteri?
Dan jika seorang Ketua Penerangan parti tidak mewakili parti, siapa lagi yang layak mewakili parti bercakap soal dasar? Anda berkata bahawa oo Perdana Menteri tidak boleh mengawal Menteri Kewangan? Jadi adakah seorang Presiden parti juga tidak boleh mengawal Ketua Penerangannya sendiri?
Hakikatnya, anda sendiri tidak sependapat dalam isu ini. Ia digunakan untuk menyatakan bahawa anda pembela rakyat, sedangkan Perdana Menteri dan kerajaan sepatutnya diberi ruang untuk mengkaji dan memutuskan dasar-dasarnya.
Saya sekali lagi bersetuju dengan tuntutan pengeluaran KWSP RM10,000 tetapi saya sekali-kali tidak akan meletakkan syarat, oo tak buat yang ini saya tarik sokongan, bukan begitu.
Dan percayalah, naratif ini tidak akan dijawab dengan fakta. Ia hanya akan dijawab dengan komen-komen nakal dan tidak berfakta sahaja. Sebab memang parti mereka begitu. Jika tidak percaya, tunggu dan bacalah komen-komen mereka.
Perdana Menteri sendiri menyatakan bahawa kerajaan tiada hasrat untuk membenarkan pengeluaran i-Citra KWSP kali kedua. Bagaimana ada sebahagian pemimpin Umno berkeras menyebut ia keputusan ‘tanpa rela’ Perdana Menteri?
Akuilah hakikatnya Perdana Menteri dari Umno sendiri sebenarnya tidak bersedia laksanakan keputusan ini. Kenapa masih bermain wayang?
Beri ruang selesa kepada Perdana Menteri untuk buat pertimbangan berasaskan kemampuan kerajaan. Janganlah perlekehkan Perdana Menteri dari parti sendiri seolah-olah jadi ‘puppet’ semata-mata.
YB USTAZ AHMAD FADHLI SHAARI
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas – HARAKAHDAILY 15/2/2022
Sumber Asal: https://www.facebook.com/594749566/posts/10157207768709567/