PN Perlis siap sedia bantu kempen PRN Johor

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Perikatan Nasional (PN) Perlis sedia menghantar petugas bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac depan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Pengerusinya, Mohd Shukri Ramli berkata, persiapan rapi disusun sebelum jentera turun ke kawasan Dun yang ditetapkan.

“Alhamdulillah, semalam kita mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan persiapan untuk menghadapi PRN Johor.

- Advertisement -

“Kita akan turun atas nama PN ke Dun yang ditetapkan bagi membantu PRN Johor, sekarang sudah ada jentera yang berada di sana bagi memantau keadaan terkini,” katanya di sini.

Menurutnya juga petugas turun padang ditetapkan dua gelombang yang bermula 25 Februari hingga 6 Mac, manakala gelombang kedua 6 Mac sehingga hari mengundi.

“Gelombang pertama akan diketuai Timbalan Pengerusi 1 PN negeri, Abu Bakar Hamzah dan dibantu oleh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Mohd Ridzuan Hashim. Gelombang kedua diketuai saya sendiri bersama Izizam Ibrahim dari Bersatu,” ujarnya.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, beliau akan turun padang ke Johor pada 18 Februari ini untuk membuat tinjauan awal.

Beliau turut berharap semua petugas sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) dan sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Menurutnya juga Muafakat Nasional (MN) peringkat negeri masih berjalan seperti biasa dan pihaknya akan sentiasa mengajak ke arah perpaduan.

“Kita cuba sebolehnya tidak membincangkan perkara yang akan menimbulkan salah faham dan kerjasama di peringkat kerajaan negeri masih berjalan lancar.

“Bukan semua AJK Umno bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh segelintir kepimpinan mereka, tetapi kita sedaya upaya menyatukan semua pihak,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 14/2/2022