Sumbangan Qatar kepada Dunia Islam

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi mengadakan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri Qatar, Sheikh Khalid bin Khalifa bin Abdul Aziz Al-Thani, baru-baru ini.
- Advertisement -

QATAR, sebuah negara yang tidak asing lagi dalam kalangan Dunia Islam. Tidak dapat dinafikan, Qatar adalah salah sebuah negara penyumbang utama sama ada dalam bentuk bantuan kewangan mahupun bantuan kemanusiaan kepada negara-negara Dunia Islam yang dilanda musibah seperti peperangan, pembangunan semula, kekurangan bekalan makanan dan lain-lain lagi.

Di samping itu juga, Qatar turut memainkan peranan utama sebagai pengantara ataupun mediator dalam sebarang krisis yang melanda negara-negara Dunia Islam sama ada sesama negara Dunia Islam mahupun antara negara Dunia Islam dengan dunia barat khususnya. Malah peranan Qatar turut diakui keberkesanannya sama ada oleh PBB dan negara-negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat.

Qatar adalah sebuah negara yang kaya dengan sumber asli dan merupakan salah satu pengeksport gas asli yang terbesar di dunia. Qatar melalui cabang pelaburannya Qatar Investment Authority (QIA) turut berkecimpung dalam pelbagai sektor pelaburan di serata dunia sehingga ia boleh dianggap antara badan pelaburan yang terbaik dalam kalangan negara Dunia Islam.

Sehingga kini, Qatar melalui QIA telah melabur lebih USD400 bilion di lebih 40 buah negara serata dunia seperti di Turkiye, Rusia, Amerika Syarikat dan juga syarikat-syarikat di negara-negara Eropah seperti Volkswagen, Siemens, Deutsche Bank, Harrods, bangunan pencakar langit Shard, Hotel Savoy dan Lapangan Terbang Heathrow di London, Britain termasuk juga kelab bola sepak Paris Saint Germain di Perancis.

- Advertisement -

Qatar juga adalah salah satu pemegang saham utama dalam Rosneft, syarikat pengeluar minyak utama di Rusia dan juga di dalam syarikat yang mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa St. Petersburg, Rusia. Qatar turut mempunyai pegangan saham dalam syarikat induk kepada Empire State Buliding di New York, Amerika Syarikat di samping turut mempunyai pegangan saham dalam pelbagai syarikat multinasional di Amerika Syarikat.

Terbaharu, Qatar dijangka akan melabur dalam sektor pelabuhan di Amerika Syarikat sebanyak USD10 bilion dan lawatan Presiden Turkiye ke Doha, Qatar pada Disember tahun lalu dalam usaha menarik pelaburan Qatar dijangka akan menarik lebih banyak pelaburan QIA ke Turkiye yang sehingga kini berjumlah USD33.2 bilion.

Tanpa kita sedari, Qatar melalui Ooreddo QSC, syarikat telekomunikasi terbesar di Qatar adalah antara pemegang saham utama dalam PT Indosat, syarikat telekomunikasi kedua terbesar di Indonesia di mana pada 8 Januari lalu ia telah melengkapkan penggabungan dengan CK Hutchinson Holding Ltd milik billionaire Hong Kong Li Ka Shing dengan nilai penggabungan bernilai USD6 bilion menjadikannya syarikat telekomunikasi kedua terbesar Indonesia selepas Telkomsel.

Dengan sumber kewangan yang begitu stabil dan peranan Qatar yang diakui berkesan dalam menangani pelbagai konflik geopolitik terutamanya dalam kalangan negara Dunia Islam, tidak hairanlah Qatar begitu banyak tampil membantu negara-negara Dunia Islam yang dalam keadaan kesukaran di samping turut menjadi pengantara atau mediator dalam konflik dalam kalangan negara-negara Dunia Islam.

Salah satu contoh terbaik ialah Palestin. Hingga saat ini Qatar dianggarkan menghulurkan bantuan kepada Palestin bernilai ratusan juta dolar dalam usaha untuk meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat Palestin. Pada 9 November 2021, Qatar berkerjasama dengan UNRWA, sebuah badan di bawah PBB yang menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk pelarian Palestin dengan memberikan bantuan sebanyak USD18 juta untuk kebajikan pelarian Palestin.

September 2021, Qatar telah menyambung semula bantuan kewangan kepada keluarga Palestin di Semenanjung Gaza setelah terhenti akibat serangan rejim zionis Israel ke atas Semenanjug Gaza pada Mei 2021. Bantuan yang dianggarkan bernilai USD40 juta diagihkan kepada keluarga Palestin yang terjejas melalui pasar raya, agen tukaran mata wang dan pelbagai sektor peruncitan dengan setiap keluarga dianggarkan menerima bantuan sekitar USD100 yang dijangka mampu meringankan beban yang ditanggung oleh warga Semenanjung Gaza.

Di samping itu juga akibat daripada kemusnahan serangan rejim zionis Israel ke atas Semenanjung Gaza, Qatar turut mengumumkan komitmen untuk membiayai pembangunan semula Semenanjung Gaza bernilai USD500 juta termasuk juga pembinaan saluran gas ke Semanjung Gaza bernilai USD60 juta yang diumumkan pada 2021.

Tidak hanya Palestin, Qatar turut menghulurkan bantuan kepada warga Yaman yang sedang menderita akibat peperangan yang sedang berlaku ketika ini. Qatar melalui Qatar Fund For Development (QFFD) bekerjasama dengan PBB di bawah program World Food Program dengan memberikan bantuan sebanyak USD90 juta untuk membiayai program bantuan makanan kepada warga Yaman yang di saat ini kebanyakannya sedang berhadapan dengan krisis kebuluran.

Jika mahu disenaraikan bantuan Qatar kepada negara-negara Dunia Islam nescaya ramai di antara kita akan kagum dengan jumlah sumbangan negara kecil dari rantau Asia Barat ini dalam usahanya untuk membantu umat dan negara Dunia Islam yang sedang berhadapan dengan kesukaran mahupun kegawatan hidup akibat pelbagai sebab yang sedang berlaku.

Kunjungan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, YB Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Qatar beberapa minggu lalu dianggap bertepatan dan amat sesuai dengan keadaan semasa ketika ini. Kunjungan yang bertujuan untuk merapatkan hubungan dua hala dan mempromosikan Malaysia sebagai hub pelaburan untuk Qatar dalam usaha menarik pelaburan Qatar dijangka mampu merapatkan hubungan dua hala Malaysia-Qatar termasuk jangkaan peningkatan pelaburan daripada Qatar.

Ketika ini, jumlah perdagangan antara Qatar dan Malaysia mencecah RM2 bilion setahun dan dijangka mampu bertambah sekiranya usaha-usaha berterusan dilakukan untuk menarik pelaburan daripada Qatar terutamanya daripada QIA dan juga daripada syarikat-syarikat multinasional Qatar yang terbabit dalam pelbagai sektor seperti minyak dan gas, pembinaan, pelancongan, telekomunikasi dan IT serta lain-lain lagi.

Jika usaha yang dipelopori oleh YB Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah berjaya membuka jalan pelaburan Qatar dan syarikat multinasional Qatar ke Malaysia, ia dijangka mampu menjadi pemangkin suntikan ekonomi kepada negara di samping mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan serta membuka peluang-peluang ekonomi baharu kepada syarikat tempatan.

Peluang-peluang ekonomi sebegini tidak hanya memberi manfaat sehala tetapi sebaliknya mampu memberikan nilai tambah seperti peluang perniagaan dan pelaburan kepada syarikat-syarikat tempatan sama ada kecil, sederhana mahupun besar untuk meluaskan perniagaan mahupun pelaburan mereka ke Qatar di mana ia akan memberikan manfaat besar terutamanya syarikat-syarikat bumiputra yang berkecimpung dalam sektor seperti makanan halal dan pelancongan yang berasaskan Islamic Tourism.

Dengan sektor pelaburan Malaysia saat ini yang amat kondusif dan masih menjadi pilihan utama pelabur di kalangan negara-negara Asean, saya percaya kunjungan YB Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah mampu menarik pelaburan Qatar ke Malaysia dan seterusnya mampu menjadikan Malaysia hub untuk pelaburan Qatar di rantau Asean.

Kunjungan YB Tan Sri Abdul Hadi Awang ke Qatar juga dijangka dapat merapatkan hubungan dua hala di antara Malaysia dan Qatar. Dengan Qatar yang dianggap berpengaruh dalam kalangan negara-negara Dunia Islam, jangkaan hubungan rapat antara Qatar dan Malaysia pada masa hadapan diharap mampu memberikan kelebihan kepada Malaysia dalam mengkoordinasikan kedudukannya dalam kalangan negara Dunia Islam supaya “suara“ Malaysia didengari dan dihormati.

Di dalam memposisikan kedudukan Malaysia agar lebih baik dalam kalangan negara-negara Dunia Islam, Malaysia memerlukan rakan strategik yang lebih baik dan kukuh agar dapat bersama-sama menyumbang dan berperanan lebih proaktif dalam usaha untuk menjadikan Islam lebih diterima dan dipandang tinggi di dunia.

Semoga hubungan Malaysia dan Qatar akan lebih kukuh pada masa hadapan seterusnya mampu memberikan kebaikan dan manfaat kepada rakyat dan negara khususnya kepada umat dan Dunia Islam amnya. Harapan saya selepas ini, Malaysia mampu menjalinkan hubungan yang lebih erat dan rapat dengan lebih banyak negara Dunia Islam seperti Turkiye dan beberapa buah negara lagi, insya-Allah.

Semoga Allah SWT memberkati segala doa dan usaha-usaha kita semua.

Islam Menyatukan Umat

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 12/2/2022

- Advertisement -