Pesta Jerami Gulung di Sedaka jadi tarikan pelancong

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

YAN:
Pesta Jerami Gulung Castle@Wateb di persisiran jalan Kepala 10, Sedaka dekat sini mampu menjadi lokasi pelancongan ke daerah itu.

Adun Sungai Limau, Mohd Azam Abdul Samat berkata, ia sangat sesuai dijadikan tempat untuk keluarga berkumpul menikmati pemandangan menarik sambil bersuafoto dan menyedut udara nyaman.

- Advertisement -

“Saya juga pernah membawa keluarga ke situ dan bergambar, seolah-olah seperti berada di luar negara,” kata beliau ketika dihubungi di sini.

Menurutnya juga pengunjung yang datang dengan kenderaan disediakan tempat parkir di kawasan petak bendang.

Kata beliau pesta terbabit hanya berlangsung sehingga akhir Mac kerana mengambil peluang musim kemarau sekarang, di mana panoramanya mampu menambat hati pengunjung termasuk yang datang dari luar Yan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan agensi lain kerana mempromosikan tempat ini dengan menempatkan jerami gulung sebagai tarikan utama,” katanya.

Oleh itu Mohd Azam berharap pengunjung menjaga kebersihan dan keselamatan tempat berkenaan supaya terus kekal sebagai destinasi pelancongan menarik.

Di kawasan terbabit juga terdapat warung tepi bendang yang menyediakan pelbagai juadah kepada pengunjung. – HARAKAHDAILY 10/2/2022

- Advertisement -