Cari mekanisme tangani kenaikan harga ayam

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi menangani isu kenaikan harga ayam sehingga membebankan pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, perbincangan itu bagi mengenal pasti faktor kenaikan harga ayam sekarang.

Kata beliau sehingga sekarang nampaknya isu tersebut belum dapat diselesaikan.

- Advertisement -

“Setiap pihak yang terlibat perlu pastikan harga ayam tidak naik secara mendadak dan perlu ada inisiatif dilakukan bagi memberi kelegaan kepada semua pihak terutamanya pengguna,” katanya di sini.

Bagaimanapun katanya, berdasar maklumat awal difahamkan kenaikan harga ayam berlaku disebabkan kenaikan harga bekalan makanan ayam.

Sementara itu ketika tinjauan Harakahdaily di pasar di sekitar Pasir Mas kenaikan harga ayam secara mendadak bukan sahaja meresahkan pembeli, sebaliknya peniaga turut terkesan.

Rata-rata peniaga yang ditemui mengeluh kerana ayam yang dibeli daripada pembekal dijual dengan harga yang mahal.

Seorang peniaga, Rohani Amat, 67, berkata, beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa menaikkan harga ayam bagi mengelak kerugian biar pun memahami membebankan pengguna.

“Kita memahami situasi semasa. Saya tidak dapat menjual pada harga lebih rendah berikutan harga ditetapkan pembekal sudah tinggi,” katanya ketika ditemui hari ini.

Seorang lagi peniaga Hasmah Ramli, 65, berkata, beliau dimaklumkan harga ayam naik secara mendadak disebabkan makanan ruji ternakan itu mahal, sekali gus menyebabkan penternak terpaksa menaikkan harga.

Menurutnya situasi tersebut terpaksa dihadapi biarpun memahami kesukaran yang terpaksa dihadapi pengguna.

“Kami peniaga di sini amat berharap kerajaan menyelesaikan segera masalah tersebut bagi mengelakkan kenaikan harga berlaku secara berterusan sehingga membebankan rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/2/2022