Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN
Penghijrahan pemain dalam dunia bola sepak profesional adalah perkara biasa, terutama di kalangan pemain lelaki.
Di Asia, pemain bola sepak Jepun dan Korea Selatan, sudah lama menyertai kelab terkemuka di Eropah seperti Park Ji-Sung di Manchester United dan Son Heung-Min di Tottenham Hotspur, manakala Hidetoshi Nakata, bermain di beberapa kelab Serie A Itali.
Pemain tempatan juga pernah menguji nasib di luar negara seperti Safee Sali bersama Pelita Jaya di Indonesia, Nazmi Faiz Mansor pernah menghadiri sesi percubaan di kelab SC Beira Mar di Portugal, manakala Lim Teong Kim serasi beraksi di Liga Jerman.
Namun pemain bola sepak wanita hanya beraksi dalam negara sehingga penjaga gol bola sepak wanita negara, Nurul Azurin Mazlan, memecah tradisi.
Pemain berasal dari Shah Alam, Selangor, mengharumkan bola sepak wanita Malaysia apabila bermain untuk sebuah kelab di India, Misaka United FC, selama dua bulan.
Berita perpindahan Nurul Azurin, mendapat liputan beberapa media bebas luar negara, termasuk ASEAN FOOTBALL, manakala Misaka United FC mengumumkan kehadiran Nurul Azurin melalui sebuah video khas.
Menurut pengumuman itu, Nurul Azurin, akan melakukan penampilan pertamanya bersama kelab itu pada 26 Disember dalam saingan Liga Bola Sepak Wanita Karnataka.

Sepanjang dua bulan bermain bersama Misaka United FC berakhir 31 Januari lalu, Nurul Azurin, menunjukkan keunggulannya apabila berjaya memastikan gawang pasukan tidak dibolosi dalam empat daripada lapan perlawanan.
Lebih membanggakan apabila gadis berusia 22 tahun yang memakai pakaian menutup aurat, dipilih sebagai penjaga gol terbaik di Liga Bola Sepak Wanita Karnataka 2021/2022.
“Saya gembira kerana menetapkan tanda aras baharu pemain bola sepak Malaysia. Mereka (kelab asing) boleh melihat kualiti pemain Malaysia adalah bagus,” katanya.
Nurul Azurin juga muncul pemain import pertama wanita dalam saingan liga itu dan berharap dengan prestasinya di India akan membuka mata pasukan luar negara untuk mengambil lebih ramai pemain negara pada masa hadapan.
Selepas kontraknya tamat, dia kini menunggu berita dari Misaka United FC berhubung status dirinya, sama ada disambung atau tidak.
“Saya sedang menunggu keputusan dari Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF) sama ada Misaka United FC mendapat tempat di Liga Wanita India (IWL) atau tidak,” katanya yang pernah meraih Pemain Wanita Terbaik dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) pada 2015 dan 2018.
Jika Misaka United FC berjaya mendapat tempat di IWL, katanya kelab itu mungkin menghubunginya semula untuk kembali beraksi di India. – HARAKAHDAILY 9/2/2022