Mencuba pelbagai tanaman sebelum kecap kejayaan

Asyraf menunjukkan sawi yang sudah boleh dipetik oleh pengunjung.
- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kesungguhan seorang anak muda dalam memajukan bidang pertanian yang jarang diceburi golongan ini wajar dicontohi.

Pengasas Kebun Hidroponik Abi Agro, Mohd Asyraf Shuib, 40, yang terletak di Kampung Tengah, Lorong Abi 3, Abi, di sini sebelum ini telah mencuba pelbagai tanaman sebelum mengecap kejayaan seperti sekarang.

Beliau sebelum ini adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Pembangunan Manusia) dari Universiti Putra Malaysia (UPM) namun bertekad membangunkan tanah milik arwah bapanya bermula dengan penanaman pisang.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama, beliau menyertai teknik tanaman moden (fertigasi) di Kuala Ibai, Terengganu bagi menambah ilmu di bidang pertanian.

Bermula dengan modal RM500, beliau menanam 10 polibeg cili menggunakan teknik fertigasi di tepi rumah.

“Selepas yakin dengan teknik ini, saya tambah kepada 150 polibeg lagi. Kebetulan pada masa itu, kerajaan memberi galakan kepada siswazah untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian melalui Skim Belia Tani,” katanya.

Anak kedua daripada tiga adik beradik ini juga pernah diberi peluang belajar secara teori dan praktikal tanaman rock melon secara fertigasi di Jabatan Pertanian Perlis pada tahun 2008.

“Menerusi pinjaman Skim Belia Tani dari Jabatan Belia dan Sukan, saya bina enam buah rumah lindungan hujan dan 1,000 polibeg fertigasi tanaman rock melon.

“Saya cuba tanaman rock melon ini sekitar tahun 2010, selepas membersihkan kebun pisang yang ditanam sebelum itu,” katanya lagi.

Ujarnya lagi, beliau juga berusaha mempelbagaikan lagi koleksi tanaman dengan menanam sawi secara hidroponik sebanyak 1,000 lubang di kebun yang sama.

“Alhamdulillah, hasil tanaman sawi saya memperoleh dana Geran Agropreneur Muda dari Lembaga Pertubuhan Ladang Perlis untuk mengubah kebun fertigasi kepada kebun hidroponik.

“Saya fokuskan kepada pengeluaran tanaman sawi hidroponik dengan membina sebanyak 5,000 lubang,” ujarnya.

Bermula tahun 2020, timbul idea untuk mengubah konsep kebun hidroponik kepada kebun agropelancongan yang ketika itu dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Jamaluail.

Menurutnya, Kebun Hidroponik Abi Agro itu menggunakan tiga konsep utama iaitu pilih, timbang dan bayar.

“Pengunjung boleh memilih sendiri sayuran yang mereka suka, kemudian timbang seterusnya membuat pembayaran di tempat yang disediakan.

Pengunjung boleh memilih sendiri sayuran yang digemari.

“Mereka bukan sahaja dapat merasai kesegaran sayur di sini, malah boleh dijadikan aktiviti bersama keluarga,” katanya.

Selepas beberapa cabaran yang dilalui dalam bidang itu, beliau juga aktif menulis buku antaranya Teknik Hidroponik; Panduan Memulakan Tanaman Tanpa Tanah.

“Buku ini telah dilancarkan pada April tahun lepas oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Dr Nik Muhammad Zawawi sempena Jelajah Agropreneur Muda di sini.

“Saya juga pernah menulis buku bertajuk Jimat Dari Dapur sebagai panduan kepada orang ramai untuk menghasilkan tanaman di rumah,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2022