Apresiasi Harakah, ‘telur emas’ dan Kedah

- Advertisement -

Oleh WAN NORDIN WAN YAACOB

TAHNIAH kepada seluruh warga kerja Harakah yang telah meraikan Malam Apresiasi Harakah-GMSSB pada Sabtu 5 Februari lalu di Tenera Hotel Bangi. Malam yang penuh gemilang, ada hilai tawa kegembiraan tidak kurang ada air mata tumpah kegembiraan dan kesyukuran.

Walaupun penulis tidak dapat menyertai malam penuh bermakna itu kerana faktor kesihatan yang amat memberatkan pergerakan selepas pembedahan dan berisiko tinggi atas nasihat doktor, namun dari kejauhan walau dalam lesu kepenatan usai menjaga dateline Harakah (Jumaat 4 Februari hingga ke awal pagi Sabtu 5 Februari), penulis gembira dengan sahabat sidang editorial dan warga kerja Harakah yang diraikan pada malam tersebut. Suatu yang lama telah dinantikan.

Ada kisah-kisah lampau yang dinukilkan bagi mengimbau sejarah pengorbanan mereka terdahulu ketika malam apresiasi buat tatapan mereka yang baharu.

- Advertisement -

Mungkin catatan komen editor kali ini agak peribadi sedikit namun boleh dikongsikan buat tatapan generasi baharu. Sejak lebih 20 tahun menyertai akhbar ini usai bergraduan dari Universiti Malaya (UM), di sinilah penulis memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet pada asalnya, kemudian diamanahkan sebagai Ketua Pemberita pada tahun 2005, Wartawan Kanan pada tahun 2007,  Pengarang Berita Kanan pada tahun 2012 dan kemudiannya ditaklifkan sebagai Ketua Pengarang Harakah pada tahun 2015 ketika era pasca pergolakan Muktamar Kuala Selangor dan kini hanya menerajui Harakah Cetak selaku Ketua Pengarang Harakah Cetak atas faktor keuzuran.

Bukan sekadar bermalam di pejabat malah berumahtangga di pejabat ini perkara biasa buat penulis dan ramai lagi rakan yang masih ada dan yang telah tiada, bermalam berbantal lengan sejak awal 2000 hingga ke saat penulis acap kali rebah di pejabat atas faktor kesihatan sekitar 2019. Sejak itu semakan page lebih banyak bermalam di rumah hingga ke jam 2 pagi atau lebih selepas kilang selesai menerima semua fail PDF untuk cetakan. Ketika insan lain lena diulit mimpi, kami bak burung hantu berjaga siang ke lewat pagi bagi memastikan Harakah terbit.

Kami tiada abah

Pernah berbulan jua tidak balik ke rumah tidak menjengah anak tatkala ditugaskan membuat liputan dalam pilihan raya negeri Sarawak beberapa kali sejak mula berkhidmat dalam beberapa sisi PRN negeri itu, berkhemah di pejabat menyiapkan dateline dan kerkampung ketika PRU, hinggakan tiada lagi abah di rumah suatu kebiasaan kepada anak-anak, malah bagi mereka biasa sahaja kehilangan abah setiap masa hingga abah rebah hujung tahun 2019 barulah mereka merasai adanya abah di rumah.

Di peringkat awal, penulis menyertai Harakah di bawah kepimpinan Zulkifli Sulong, dan ketika itu Dato’ Hishamuddin Yahaya selaku Pengarah Urusan, kemudian ayahanda Almarhum Haji Shuhaimi Mokhtar mengambilalih ‘baton’ selaku Ketua Pengarang tidak sampai setahun, digantikan oleh Ahmad Lutfi Othman yang kembali menyertai Harakah selepas membidik keluaran Siasah. Kemudian dari itu Saudara Taufek Yahaya memangku sementara jawatan Ketua Pengarang semasa Ahmad Lutfi keuzuran dan kemudian penulis menggantikan Taufek Yahaya pada 2015.

Dan pada tahun 2021 tugas penulis mengemudi Harakah (Cetak dan HD) sepenuhnya digantikan oleh Haji Mazlan Jusoh rakan senior yang berada pejabat Harakah di Kelantan sebagai Ketua Pengarang Kumpulan dan penulis fokus kepada Harakah Cetak sahaja.

Banyak lagi kisah suka duka 20 tahun bersama akhbar kesayangan ini, namun cukuplah sekadar itu. Biarlah ia jadi kenangan sebelum melangkah ke alam kekal abadi.

Tahniah kepada pengurusan baharu di bawah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan COO, Ustaz Kamal Ashaari yang bertungkus lumus memastikan ehwal kebajikan kakitangan Harakah dititikberatkan di peringkat awal ini. Suatu wow factor yang amat dinantikan dalam membidik semula perjalanan Harakah ketika ini. Bak kata orang bangkit dari kebah. Alhamdulillah. Moga kakitangan Harakah terus Istiqamah memacu perjuangan membidik semula bisa Harakah sebagai akhbar terunggul.

Insya-Allah walau terlantar penulis terus membidik keluaran Harakah tanpa mengira waktu agar ianya sampai kepada pembaca setiap keluaran.

Telur ayam umpama emas

Kita tinggalkan seketika perihal kisah Harakah. Bising di luar sana isu telur ayam. Telur ayam yang dahulu dan kini makanan ‘ruji’ penulis bagi melegakan panggilan poket, hari ini telahpun naik darjat kedudukannya sebagai makanan yang bakal menjadi makanan kelas atasan.

Dari bekalan yang tidak cukup, harga telur kini semakin meningkat umpama harga Sardin yang dulunya makanan orang marhaen kini menjadi makanan orang berada. Harga yang mahal dan permintaan yang tinggi menyebabkan ia menjadi telur ’emas’ bukan lagi telur ayam makanan marhaen.

Pada hemat penulis, kerajaan harus secara serius melihat isu bekalan telur ayam ini dengan solusi penyelesaian agar rakyat dan pengusaha serta peniaga tidak terbeban dengan kenaikan harga malahan mungkin berdepan zaman ‘tiada telur’ lagi. Tapi mungkin telur itik boleh menggantikan telur ayam, cuma kalau itik yang melepaskan tongkat telurnya sudah mula terhidu tembelang oleh rakyat, mungkin tidak lagi menjadi pilihan kepada rakyat.

KRC dan kejayaan Kedah

Dalam pada acap kali Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor diserang kiri dan kanan oleh musuh politik, namun kejayaan beliau membawa nilai tambah yang amat menggembirakan rakyat Kedah membuka mata semua, menutup mulut pengkritik.

Projek Kedah Rubber City (KRC) salah satu projek strategik nasional yang berimpak tinggi di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan merupakan sebahagian daripada rangka kerja Pelan Pembangunan Kedah 2035 (KEDAH2035) telah pun dilancarkan.

Ia bermatlamat untuk merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dengan cara memacu produktiviti dan pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam sektor ekonomi utama bernilai tinggi, malah memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini khasnya dan Malaysia amnya.

Paling membanggakam bermula tempoh Januari hingga September 2021, Kedah telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM57.1 bilion atau 32 peratus daripada nilai pelaburan masuk ke negara bagi tempoh yang sama.

Suatu pencapaian yang amat mengujakan malah menutup mulut sang pengkritik yang tidak sudah cemburu dengan kejayaan cemerlang Kedah yang diterajui Muhammad Sanusi sejak 2020 lagi.

Ya…mengenal watak MB Kedah ini pastinya akan mengimbau sejarah bersamanya walau seketika, dan wataknya yang mirip Almarhumah Tan Sri Azizan Razak bekas bossnya suatu masa lalu.

Pernah turun padang ke Pulau Pinang bersama beliau dan NGO GENERASI (ketika itu penulis selaku Ketua Penerangan GENERASI pusat) bagi meninjau isu tambakan laut dan pembangunan pesisir laut di negeri yang dikepalai DAP itu. Insan yang ‘humble’, malah ketika penulis sakit sempat beliau bertanyakan khabar walaupun dalam kesibukannya selaku MB Kedah.

Tahniah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pastinya rakyat Kedah bangga dengan kejayaan cemerlang ini dalam membawa kebajikan, kemakmuran dan keharmonian kepada negeri Jelapang Padi ini.

Insya-Allah rakyat Kedah bangga dengan kejayaan cemerlang ini, malah inilah ‘telur emas’ yang sebenarnya didambakan rakyat terhadap kepimpinan hari ini. – HARAKAHDAILY 9/2/2022

- Advertisement -