OCBC Bank, Lion Club sumbang peralatan elektrik

Bekerjasama dengan PAS Hulu Langat bantu mangsa banjir

- Advertisement -

HULU LANGAT: PAS Kawasan Hulu Langat bersama OCBC Bank dan Lion Club KL Centre telah menyantuni dan menyampaikan sumbangan peralatan elektrik kepada mangsa-mangsa banjir di Sungai Lui, di sini minggu lalu.

Kehidupan warga setempat bagaikan pengantin baru yang sedang memulakan hidup di mana berdikit-dikit melengkapkan semula keperluan rumah tangga setelah ditimpa kemusnahan harta benda akibat banjir melanda hujung tahun lalu.

- Advertisement -

Sehubungan itu, sumbangan ini bertujuan mengurangkan beban penduduk yang terkesan dengan musibah tersebut bagi memenuhi semula keperluan asas kehidupan mereka serta diharap mampu memberi sinar kegembiraan.

Yang Dipertua PAS Hulu Langat, Mohamad Jan Sulong bersama para sukarelawan dari OCBC Bank Cawangan Utama Kuala Lumpur, Ampang dan Kepong serta Lion Club telah mengagihkan sumbangan bantuan tersebut.

Antaranya berupa peti ais, periuk masakan, pengisar, pembakar roti dan pelbagai perkakas elektrik lainnya yang ditempah khas bersama penghantaran daripada syarikat keperluan dan peralatan elektrik Seng Heng.

“Saya sangat terharu atas keprihatinan sukarelawan dari Lion Club dan OCBC dalam menyantuni penduduk Sungai Lui. Kerosakan yang dialami oleh penduduk sangat besar dan memerlukan sejumlah kewangan yang agak banyak untuk membeli yang baru. 

“Justeru sumbangan peti ais dan kelengkapan barangan elektrik ini sangat diharapkan serta telah memberikan keceriaan kepada penduduk setempat. 

“Saya mengharapkan banyak lagi NGO yang boleh bersama-sama membantu terutama sumbangan kewangan untuk mereka membina semula kehidupan. Banyak lagi penduduk di sekitar Hulu Langat ini yang perlu dibantu,” ujar Mohamad Jan.

Manakala wakil Lion Club, Michele Low berkata, pihaknya sangat teruja dapat membantu mangsa banjir di sini di mana semua barangan elektrik disediakan adalah sumbangan daripada OCBC Bank dari tiga Cawangan tersebut.

“Barangan yang kami bawa adalah peti ais, periuk nasi, cerek air, kuali dan pengisar. Saya gembira kerana ramai sukarelawan dari OCBC dan Lion Club yang terlibat untuk membantu mengedar barangan sumbangan. 

“Saya juga bersyukur serta berterima kasih dapat bekerjasama dengan PAS Hulu Langat dalam membantu menyediakan pengangkutan serta pengagihan barangan. Ini merupakan pengalaman pertama saya, dan saya akan teruskan usaha sebegini,” ujarnya.

Sumbangan pihak OCBC Bank dan Lion Club melalui PAS Kuala Langat ini terhasil dari kerjasama Michelle yang menghubungi Ketua Penerangan Muslimat PAS Kuala Langat, Norzanalila Mohd Fadzil sebelum itu.

Rata-rata penduduk yang menerima sumbangan sangat terharu, malah ada menitiskan air mata kesyukuran, selain ada penerima sumbangan tidak henti-henti mengulangi ucapan terima kasih kepada rombongan itu. – HARAKAHDAILY 7/2/2022

- Advertisement -