Exco Terengganu ziarah keluarga Muhammad Mustaqim

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Alor Limbat, Ariffin Deraman menziarahi keluarga Muhammad Mustaqim Mustafa, 25, di Kampung Belukar Sukai, pagi tadi.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Terengganu dimaklumkan bahawa arwah baharu sahaja mendirikan rumah tangga selama tiga hari.

“Hari yang disangka adanya pelangi yang indah, tiba-tiba datangnya ribut taufan yang menjengah. Ujian yang berat untuk orang yang hebat, insya-Allah.

- Advertisement -

“Semoga Allah menempatkan arwah bersama golongan yang bertaqwa dan buat pasangan arwah dikurniakan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian ini,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

Muhammad Mustaqim meninggal dunia kira-kira jam 1.10 petang semalam apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah lori.

Semasa kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar ikan air tawar ke sebuah restoran di Kampung Surau Panjang.

Sementara itu, Berita Harian Online melaporkan, hanya dua hari Sharifah Erin Nurshafieka Saiyed Azman, 20, sempat bergelar isteri susulan kematian Muhammad Mustaqim.

Menurut ibu allahyarham, Zaiton Yusof, 57, menantunya itu masih menunggu suaminya pulang membawa makanan yang dipesan, teh ais bersama apam balik walaupun sudah dimaklumkan mengenai kemalangan itu.

Katanya, anak bongsunya itu dan Sharifah Erin Nurshafieka melangsungkan akad nikah di masjid kampung berkenaan, kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lalu. – HARAKAHDAILY 6/2/2022