UniMAP laksana 150 program tanggungjawab sosial

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

ARAU:
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melaksanakan hampir 150 program University Social Responsibility (USR) di seluruh negeri itu dari tempoh 2019 sehingga 2021.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli berkata, antaranya program Perlis Special Teens Centre -Independent Living Centre (PesTec -ILC) yang dilaksanakan bagi mendidik belia Orang Kurang Upaya (OKU).

“Mereka didedah tentang keperibadian, identiti dan nilai kerohanian bagi menangani masalah sosial seperti gangguan seksual, penyalahgunaan najis dadah dan kegiatan jenayah dalam masyarakat.

- Advertisement -

“Golongan terbabit juga dilatih dengan kemahiran vokasional bagi memudahkan mereka menjalani kehidupan secara bebas dan menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi aktiviti ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Pameran Fotografi berjudul ‘Reflection’ yang disempurnakan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Galeri Bangunan Canselori UniMAP di sini, hari ini.

Tambah beliau, UniMAP juga berkongsi kepakaran melalui program Lightboard Studio khas dengan pelajar yang terpaksa belajar secara atas talian.

“Di awal musim pandemik, kebanyakan pelajar menghadapi masalah untuk belajar secara atas talian.

“Program terbabit memudahkan pengajaran dan pembelajaran supaya lebih inovatif dan menarik,” katanya.

Sementara itu pameran berkenaan mengetengahkan hasil seni seorang jurutera dari Jabatan Pembangunan UniMAP melalui lensa kameranya dengan merakam keindahan alam semula jadi terutama ketika matahari naik dan terbenam.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!