Tahun Baharu Cina: PAS santuni gelandangan Tionghua

Kesal janji kepada golongan tersebut diabaikan Kerajaan DAP Pulau Pinang

- Advertisement -

GEORGE TOWN: PAS Kawasan Bayan Baru bersama Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Negeri Pulau Pinang telah mengadakan sumbangan makanan dan wang angpau sempena Tahun Baharu Cina.

Yang Dipertua PAS Bayan Baru, Iszuree Ibrahim dan Timbalan Pengerusi DHPP Pulau Pinang, Steven Koh telah menyantuni warga setempat di Tokong Cina berhampiran Dewan Perniagaan Cina, di sini tengah hari tadi.

- Advertisement -

Menurut Iszuree yang juga Setiausaha PAS Pulau Pinang, kebanyakan warga yang diberikan sumbangan itu adalah dalam kalangan gelandangan di mana kehidupan mereka diabaikan oleh kerajaan negeri.

“Memang ramai di kalangan gelandangan masyarakat Tionghua ini. Kita rasa dukacitalah dengan janji Kerajaan DAP (Pulau Pinang) kononnya berhasrat membina rumah gelandangan sementara yang merupakan transit. 

“Sudah melebihi setahun ke dua tahun tak siap-siap berdekatan George Town sehingga hari ini. Kita dapat maklumat dia akan siap dalam awal tahun ini. Tapi masih tak siap-siap. Dan gelandangan ini terlalu ramai. 

Kita bukan memilih (kaum), PAS tidak memilih gelandangan yang kita nak beri makan ini, tidak semestinya orang Melayu semata-mata. Kita terbuka kepada semua kaum. 

“Yang mana susah kita bantu, yang hadir tadi pun di kalangan majoritinya bangsa Tionghua dan sambutannya cukup baik dan mereka memberi penghargaan atas usaha yang dibuat,” ujarnya.

Tambah beliau, Islam sangat menyerukan kepada perpaduan dan menyantuni keperluan golongan memerlukan di mana beliau berharap program sedemikian akan mengeratkan hubungan pelbagai kaum.

Istimewanya, juadah tengah hari tersebut dimasak sendiri oleh Steven yang berpengalaman sebagai chef di sebuah hotel sebelum ini di mana kini bergiat aktif memasak untuk memberi makan kepada gelandangan.

Turut serta adalah Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohd Farhan Yusri dan Ketua Pemuda PAS Bayan Baru, Mohamad Zoher Mat. – HARAKAHDAILY 4/2/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -