Oleh SYAHIRAH SALLEH
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang bagi mengurangkan jumlah perokok baharu.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pelaksanaan itu akan dibuat melalui peruntukan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok berkaitan Generational End Game yang akan dibentangkan nanti.
“Dengan itu, KKM boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Kanser Sedunia, hari ini.
Menurut Khairy, walaupun kerajaan memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, namun Malaysia memerlukan sebuah reformasi sistem kesihatan yang kalis masa hadapan yang merangkumi reformasi sistem pembiayaan kesihatan (healthcare financing).
Justeru katanya, satu Kertas Putih KKM akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Dari aspek penjagaan dan rawatan untuk pesakit kanser di Malaysia, banyak juga kemajuan yang telah dicapai. KKM menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan yang terbaik serta berkualiti untuk pesakit-pesakit kanser.
“Namun, tidak dinafikan wujud ketidaksamaan dalam penjagaan dan rawatan kanser di negara ini. Kebanyakkan perkhidmatan tertumpu di pusat-pusat bandar dan sukar untuk dicapai oleh pesakit yang tinggal jauh dari bandar atau pedalaman,” katanya.
Menurut Khairy, kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital swasta iaitu sebanyak 34.95 peratus dan sebab kematian keempat di hospital KKM iaitu sebanyak 11.56 peratus.
Katanya, kanser merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital iaitu di hospital KKM sebanyak 5.17 peratus dan hospital swasta sebanyak 5.37 peratus.
“Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar iaitu 16.9 peratus, kanser paru-paru (14.8 peratus) dan kanser prostat (8.1 peratus).
“Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara sebanyak (33.9 peratus) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7 peratus) dan kanser serviks (6.2 peratus),” katanya.
Tambahnya, kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11 peratus untuk kanser paru-paru, kanser kolorektal (51.1 peratus), kanser serviks (51.6 peratus), manakala kanser payudara 66.8 peratus dan 73 peratus.
Selain itu katanya, sebanyak 63.7 peratus dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat iaitu pada tahap tiga dan empat.
Sempena sambutan Hari Kanser Sedunia hari ini, Khairy turut mengajak semua rakyat Malaysia supaya sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan seharian.
“Ayuh berganding bahu dan beri sokongan padu kepada KKM untuk mengurangkan beban kanser yang kian meningkat dan bersama-sama menangani jurang penjagaan kanser di negara kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/2/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!