Siapakah sanggup menjadi pengkhianat?

- Advertisement -

DALAM suasana hangat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sekarang, terdapat ura-ura Parlimen juga akan dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dilangsungkan.

- Advertisement -

Spekulasi ini bertiup kerana tiga faktor:

Pertama, dari segi sejarah, Umno melalui mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 7 Julai 2021 telah pernah menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin.

Kedua, Muzakarah PAS-BERSATU pada 28-29 Januari lalu telah mengeluarkan resolusi yang ‘mempertegaskan sokongan PAS dan BERSATU dalam Kerajaan Persekutuan adalah bersyarat, perlu dihormati dan dirundingi’.

Ketiga, Timbalan Presiden PAN, Dato’ Seri Salahuddin Ayub, telah mengumumkan pada 15 Januari lalu bahawa pihaknya akan menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, jika PRN Johor dilangsungkan.

Kita semak satu-satu setiap faktor ini:

Kemungkinan untuk Umno menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri hampir tiada kerana penarikan balik sokongan kepada Muhyiddin adalah diasaskan kepada kegagalan kerajaan beliau memenuhi syarat pemberian sokongan oleh MKT pada 11 Mac 2020.

Tujuh kegagalan kerajaan beliau telah dinyatakan oleh MKT pada 7 Julai 2021, iaitu:
(1)        Kegagalan menangani pandemik COVID-19 secara berkesan, 
(2)        Penyalahgunaan Darurat, 
(3)        Kegagalan mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen, 
(4)        Kegagalan menguruskan bantuan dan tuntutan rakyat secara berkesan, 
(5)        Kegagalan menyantuni keperluan rakyat, 
(6)        Kegagalan mengurus kestabilan politik dan ekonomi, serta 
(7)        Sikap biadab kerajaan terhadap Institusi Raja.

Jika dilihat kepada apa yang berlaku sekarang maka Ismail Sabri sukar diganggu oleh Umno kerana kerajaan beliau tidak dianggap sebagai kerajaan gagal seperti yang dilabelkan kepada kerajaan Muhyiddin, malah dalam kerajaan beliau sering akur kepada kehendak MKT.

Selepas Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri, MKT pada 27 Ogos 2021 menyatakan bahawa ia mendukung penuh pelantikan tersebut sambil menggariskan beberapa panduan utama kepada beliau di dalam menerajui kerajaan beliau.

Enam panduan utama yang diberikan oleh MKT itu adalah:
(1)        Menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti,
(2)        Memfokuskan usaha untuk menangani pandemik COVID-19 dan proses vaksinasi,
(3)        Menyantuni kehendak dan tuntutan rakyat berkaitan kebajikan dan kesejahteraan mereka,
(4)        Menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia,
(5)        Mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen, serta
(6)        Menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) bagi menyiasat segala pendedahan yang dilakukan oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam bukunya.

Melainkan butiran kecil pengeluaran i-Citra secara one-off dengan jumlah minimum RM10,000 di dalam Perkara (3), kesemua enam panduan utama MKT itu telah dipenuhi oleh kerajaan Ismail Sabri menyebabkan tiada lagi asas untuk MKT mempertikaikan beliau.

Malah, bila Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan pada 5 Januari lalu supaya diadakan sidang khas Dewan Rakyat bagi membincangkan bencana banjir maka saranan ini diterima baik dan sidang khas itu diadakan pada 20 Januari lalu.

Sebab itu kemungkinan untuk Umno menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri hampir tiada, malah MKT pada 12 Januari lalu telah menegaskan bahawa sokongan MKT kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah sentiasa kekal malahan perlu terus dimantapkan.

Kemungkinan untuk PAS-BERSATU menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri juga tidak tinggi kerana kerajaan beliau masih memenuhi syarat pemberian sokongan oleh Muhyiddin selaku Pengerusi PN di dalam kenyataan media yang beliau berikan pada 19 Ogos 2021.

Hanya dua syarat yang Muhyiddin berikan, iaitu:
(1)        Ismail Sabri hendaklah memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah terdiri daripada mereka yang berintegriti, beramanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah di mahkamah.
(2)        Kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berperlembagaan.

Begitu juga dengan kemungkinan untuk PH menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri yang rendah kerana kerajaan beliau masih menjunjung tinggi Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai dengan PH pada 13 September 2021.

Malah, seorang wakil PH di dalam Jawatankuasa Pemandu MoU ini, iaitu Ahmad Fahmi Mohd Fadzil, telah melahirkan rasa puas hati beliau pada 19 Januari lalu bahawa setakat hari itu 13 dari 18 perkara yang terkandung dalam MoU itu, iaitu 72.2 peratus, telah dilaksana.

Tindakan Menteri Besar Johor, Dato’ Ir Hasni Mohamad, menasihatkan Sultan Johor untuk membubarkan DUN Johor pada 22 Januari lalu tidak boleh sama sekali dikaitkan dengan Ismail Sabri kerana pembubaran DUN bukan berada di bawah bidang kuasa beliau.

Ismail Sabri hanya Naib Presiden Umno, jadi adalah amat tidak munasabah untuk mana-mana pihak meletakkan beban ke atas perasaan tidak puas hati terhadap perkara yang Umno lakukan di pundak beliau, apa lagi bila ia hanya melibatkan Umno Negeri.

Keputusan politik tidak boleh didasari oleh emosi, sebab itulah Muhyiddin pada 19 Ogos 2021, pernah menyatakan bahawa ‘apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar (magnanimous) demi kepentingan rakyat dan negara’. 

Bila kita masih berhadapan dengan situasi krisis, kestabilan politik amat diperlukan bagi menjamin kesinambungan dasar-dasar kerajaan di dalam memerangi COVID-19 yang masih belum pulih sepenuhnya dan di dalam memulihkan ekonomi negara. 

Siapakah yang sanggup menjadi pengkhianat semata-mata untuk melunaskan dendam politik mereka? Setelah diberi peluang kedua untuk memerintah masih adakah yang mahu melepaskan kuasa di genggaman semata-mata untuk membolot lebih banyak kuasa?

PROF DR MOHD ROSLAN MOHD NOR
Presiden Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) merangkap Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM) – HARAKAHDAILY 1/2/2022

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -