KEPALA BATAS: Pertemuan mahabbah dengan imam dan bilal surau-surau di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga bertujuan untuk mengekalkan hubungan yang telah lama terjalin.
Adun Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, pertemuan julung kali diadakan itu juga untuk meraikan para imam dan bilal serta mengenang pengorbanan dan jasa mereka yang berkhidmat secara sukarela.
Menurutnya, di samping itu pertemuan sedemikian yang diadakan kelmarin dapat memantapkan lagi organisasi surau-surau.
“Mereka adalah golongan yang mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT. Terdapat banyak hadis yang menyatakan kelebihan mengerjakan solat berjemaah dan seruan azan,” ujarnya pada majlis yang dihadiri sekitar 60 orang imam dan bilal dalam DUN berkenaan.
Beliau turut memetik hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Imam adalah penjamin, tukang azan adalah orang yang dipercayai (amanah). Ya Allah, berilah petunjuk kepada imam-imam dan ampunilah tukang azan”.
Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusof turut menyampaikan tausiah selepas Mohd Yusni menyampaikan ucapan.
Pada akhir majlis, Muhammad Fauzi dan Yusni sedikit sumbangan hamper dan sagu hati kepada para imam dan bilal.
Sementara itu, Pusat Khidmat ADUN Penaga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan pertemuan mahabbah itu. – HARAKAHDAILY 1/2/2022