Sabah lapangan luas, subur bagi gerak kerja dakwah

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Negeri Sabah adalah lapangan yang luas dan subur bagi gerak kerja dakwah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.

Bagi beliau, besar sungguh jasa para murabbi ummah di negeri itu bagi memastikan kefahaman Islam sampai ke dalam dalam masyarakat.

“Tidak tergambar oleh saya, mujahadah juga sabarnya mereka untuk terus menyampaikan agama seterusnya membangunkan ummah,” ujarnya menerusi laman Facebook, semalam.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada para imam, guru takmir, guru dan penyelia KAFA, guru institusi pondok dan tahfiz, pentadbir dan pegawai-pegawai masjid atas segala jasa bakti.

Menurutnya, murabbi bukan sekadar menyampaikan maklumat tetapi mendidik dan menjadikan orang yang dididik benar-benar melaksanakan agama dalam kehidupan.

Semalam, beliau hadir dan menyampaikan ucapan majlis Multaqa Murabbi Ummah, Peringkat Negeri Sabah di Kota Kinabalu.

Katanya, dalam pertemuan itu juga beliau telah menyampaikan amanah untuk mengagihkan peruntukan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan berjumlah RM58.54 juta demi pemerkasaan Islam di Sabah bagi tahun ini.

“Saya juga selalu memperingatkan agensi-agensi Islam khusus Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk sentiasa bekerjasama erat dengan Majlis dan Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah termasuklah Jabatan Mufti Negeri Sabah,” ujarnya.

Idris juga mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya kepada Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif yang mewakili Ketua Menteri Sabah pada majlis itu.

“Doa saya buat semua murabbi ummah di sini untuk beristiqamah meneruskan kerja-kerja orang terdahulu, melebarkan lagi agenda pembangunan ummah dan dakwah di Sabah.

“Insya-Allah, dengan kesungguhan kita itu, pasti Allah menganjarkan dengan sebaik-baik ganjaran,” katanya lagi.

Beliau turut memetik ayat 105 Surah At-Taubah yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. – HARAKAHDAILY 28/1/2022

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!