Debat pesakit enggan divaksin perlu bayar untuk rawatan

Perdana Menteri Perancis, Jean Castex (kiri) bersama Martin Hirsch dalam satu sidang media di Paris, Perancis pada 15 Oktober 2020. (FOTO Reuters)
- Advertisement -

PARIS: Perdebatan sengit tercetus di Perancis susulan timbul isu yang mempersoalkan sama ada individu yang enggan divaksin perlu terus dilindungi oleh insurans kesihatan awam.

Ketua Sistem Hospital Paris AP-HP, Martin Hirsch berkata, beliau membangkitkan isu itu kerana kos kesihatan semakin melambung dan tingkah laku tidak bertanggungjawab sesetengah pihak tidak seharusnya menjejaskan ketersediaan sistem perubatan untuk orang awam.

- Advertisement -

“Apabila ubat-ubatan percuma dan sistem perubatan tersedia dan sepatutnya termaktub untuk semua orang, adakah individu tertentu boleh untuk tidak mempedulikan sistem perubatan berkenaan, sedangkan kita berjuang untuk merawat pesakit lain?,” soal Hirsch dalam satu temu bual di televisyen Perancis pada Khamis (27 Jan).

Di bawah sistem penjagaan kesihatan Perancis, semua pesakit Covid-19 yang menjalani rawatan rapi dilindungi sepenuhnya untuk rawatan mereka, dengan kos kira-kira €3,000 (RM14,204) sehari dan biasanya dalam tempoh antara seminggu hingga 10 hari.

Beberapa kalangan profesional kesihatan Perancis menolak cadangannya itu, sementara ahli politik sayap kanan menggesa Hirsch dipecat.

Datuk Bandar Paris, Anne Hidalgo yang mempengerusikan lembaga AP-HP dan merupakan calon sosialis dalam pilihan raya presiden menjelang April ini berkata, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Hirsch itu.

Sehubungan itu, hashtag yang menyeru pemecatan Hirsch kini sedang popular di Twitter di negara itu.

Menteri Kesihatan, Olivier Veran bagaimanapun tidak mengulas mengenai kontroversi yang dicetuskan Hirsch tetapi Olga Givernet, ahli parlimen untuk parti LREM yang diketuai Presiden Emmanuel Macron, menerusi kemunculannya di BFM TV pada Khamis berkata bahawa isu yang dibangkitkan oleh komuniti perubatan tidak boleh diabaikan.

Tinjauan firma penyelidikan pasaran dan penyelidikan antarabangsa, IFOP pada pertengahan Januari tahun ini menunjukkan bahawa 51 peratus rakyat Perancis menganggap adalah wajar bahawa individu yang enggan divaksin tetapi dijangkiti Covid-19 dan memerlukan rawatan rapi di hospital perlu membayar sebahagian atau kesemua bil hospital mereka. – Reuters

- Advertisement -