Rasuah: NACP bantu CPI Malaysia lebih baik

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Pelaksanaan penuh inisiatif dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) secara agresif dan drastik akan memberi manfaat menyeluruh dalam menginstitusikan tadbir urus baik, integriti dan antirasuah serta mampu memberi impak kepada kedudukan Malaysia dalam penilaian Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada masa akan datang.

Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) dalam kenyataan hari ini berkata ia memandang serius penurunan kedudukan dan skor negara dalam CPI yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M), kelmarin.

- Advertisement -

GIACC berkata penurunan skor dan kedudukan Malaysia dalam CPI bagi tempoh dua tahun berturut-turut merupakan satu perkara yang amat serius dan boleh memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Kedudukan Malaysia dalam CPI 2021 yang dikeluarkan Transparency International Malaysia (TI-M) adalah di tangga 62 berbanding tangga 57 pada 2020, dan tangga 51 pada 2019.

 Skor yang dicatatkan pada 2021 adalah 48 berbanding 51 yang direkodkan pada 2020, dan 53 pada 2019.

GIACC berkata sebagai penyelaras NACP dengan kerjasama agensi peneraju akan terus mempergiatkan gerakan pelaksanaan inisiatif-inisiatif dalam enam bidang keutamaan yang dinyatakan dalam NACP.

“GIACC komited dalam memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif yang terkandung dalam NACP dilaksanakan, selaras dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti, kecekapan dan keberkesanan dalam perkhidmatan awam,” katanya serta meminta agensi peneraju perlu lebih cakna dengan pelaksanaan NACP.

“Komitmen daripada semua amat penting dalam memastikan pelaksanaan NACP ke arah mencapai matlamat Keluarga Malaysia yang berintegriti tinggi dan bebas rasuah,” kata GIACC.

GIACC berkata ia akan memberi perhatian kepada cadangan-cadangan yang telah dikemukakan dan akan meneliti secara menyeluruh syor-syor yang telah dikemukakan oleh pihak TI-Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -