Kedah tidak pandang remeh masalah air bersih

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan negeri tidak pernah memandang remeh masalah pembekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat di kebanyakan daerah di Kedah.

Sejak negeri ini beralih tampuk pentadbiran pada Mei 2020 lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri  Muhammad Sanusi Md. Nor telah meletakkan perkara itu sebagai prioriti untuk diselesaikan.

Demikian antara ditegaskan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar, kelmarin.

Advertisement

Berikutan itu, menyedari bahawa perkara tersebut bukan isu yang baharu dan telah berlarutan begitu lama, sememangnya sukar untuk diatasi sepenuhnya dalam tempoh yang singkat selain kekangan kewangan yang dihadapi Syarikat Air Darul Aman (SADA) sejak beberapa tahun lalu.

“Berdasarkan rekod, SADA telah mencatatkan kerugian RM36 juta pada tahun 2019 dan telah mengakibatkan kerja-kerja penyenggaraan tidak dapat dilakukan dengan sempurna kerana melibatkan kos yang sangat tinggi.

“Bagaimanapun, atas daya usaha dan komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri sekarang termasuk langkah-langkah pengurangan kos yang dilaksanakan oleh SADA secara intensif, syarikat berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 juta pada tahun 2020 dan lebih dari RM30 juta pada 2021,” menurut kenyataan itu.

Justeru, dengan rekod keuntungan yang berjaya ditingkatkan itu, telah memberi kelegaan kepada SADA untuk melipatgandakan kerja penambahbaikan dan penyelenggaran perkhidmatan di seluruh negeri.

Selain projek-projek yang dibiayai sendiri oleh SADA, kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) turut membantu menjayakan beberapa projek utama yang sedang dilaksanakan kini.

Antaranya, projek menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) di Pelubang, Jenun Baru, Bukit Selambau, Sungai Limau dan Lubuk Buntar lama, selain menaik taraf sistem pam di Padang Maksirat, Langkawi.

“Selain itu, turut menjadi fokus utama kerajaan negeri ialah usaha mengurangkan peratusan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water – NRW) yang pada masa ini direkodkan sebanyak 49 peratus.

“Kerajaan negeri dan SADA menyasarkan kadar itu dapat diturunkan sehingga 25 peratus. dalam tempoh 15 tahun akan datang,” ujarnya lagi.

Sementara, untuk mengurangkan NRW, kos yang tinggi diperlukan iaitu lebih RM900 juta untuk menaik taraf infrastruktur loji rawatan sedia ada dan juga sistem saluran paip di seluruh negeri.

Namun jelas kenyataan itu lagi, kerajaan negeri yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah akan dapat diatasi apabila kesemua LRA yang sedang dalam pembinaan siap.

Berikutan itu orang ramai dinasihatkan bersabar malah dalam masa yang sama pelbagai usaha juga sedang giat dijalankan oleh kerajaan dan SADA untuk membawa keluar rakyat daripada belenggu masalah berkenaan.

Seperkara lagi, Pejabat Menteri Besar juga memohon kerjasama semua pihak terutamanya pengusaha tanaman skala besar seperti dusun atau ladang agar tidak menggunakan air terawat bagi menyiram tanaman mereka ketika musim kemarau melanda.

Para pekebun atau pemilik ladang diminta memberi pertimbangan dan perhatian untuk menggunakan bekalan air daripada sumber yang lain bagi tujuan berkenaan.

“Di sesetengah kawasan yang mengalami masalah tekanan air rendah terutama pengguna di hujung saluran paip bekalan SADA akan terjejas dengan lebih teruk apabila ada pekebun yang menadah air pada waktu malam untuk disimpan bagi tujuan menyiram tanaman mereka keesokannya.

“Oleh itu kerjasama mereka amat diperlukan untuk memberi peluang kepada pengguna di hujung saluran mendapat bekalan air secukupnya bagi keperluan asas,” tambahnya lagi. – HARAKAHDAILY 27/1/2022