Ke arah pendidikan Islam yang merdeka

- Advertisement -

SAYA pernah membaca tajuk ini dalam satu penulisan yang ditulis oleh Sheikh Abul Hasan ‘Ali al-Nadawi RH iaitu seorang ulama’ terkemuka dari India yang saya kagumi. Beliau juga mempunyai hubungan yang rapat sejak saya masih lagi seorang pelajar di Universiti Islam Madinah.

Saya pernah menghadiri usrah yang beliau adakan. Walaupun sekadar pertemuan yang ringkas, tetapi beliau menjadi seorang guru yang memberikan kesan yang mendalam pada diri saya yang lemah ini.

Lebih menggembirakan lagi, apabila beliau melawat Masjid Rusila dan menyampaikan ceramahnya yang dicatatkan peristiwa tersebut dalam buku perjalanannya. Malah, lebih menggembirakan lagi, apabila Almarhum menunjukkan ingatannya kepada saya dengan mengirimkan banyak buku karangannya dan pernah menjemput saya untuk datang melawatnya.

Malangnya, lawatan atau ziarah saya ke negara beliau hanya dapat dilakukan selepas kewafatannya. Ketika itu, saya diberikan penghormatan untuk berucap dalam pelancaran sebuah kitab baharu yang dikarang oleh salah seorang ulama’ di Nadwatul Ulama’, suatu penghormatan yang saya tidak dapat lupakan.

- Advertisement -

Saya sangat tertarik dengan tajuk yang disebutkan di atas sebagaimana ia telah pun dibukukan. Almarhum menunjukkan kesedihannya kerana keseluruhan negara umat Islam masih lagi memakai acuan pendidikan Barat dalam sistem pendidikan mereka. Sedangkan, acuan tersebut tidak mampu membina insan yang berintegriti, kerana ia tidak memenuhi fitrah mengikut petunjuk Allah SWT sebagai Pencipta seluruh alam.

Dalam kalangan negara Barat sendiri berbeza sistem pelajaran dan pendidikan, walaupun mereka itu satu agama dan satu ideologi kerana realiti masyarakat dan situasi mereka yang berbeza antara satu sama lain. Tiba-tiba, kita umat Islam yang dikatakan sudah merdeka mengambil sistem pendidikan Barat yang sekular dan telah gagal membina insan yang bermoral mulia, menjadi teras integriti seseorang.

Hari ini kita sendiri menyaksikan betapa mereka yang kuat bersuara menentang rasuah pun turut mengamalkan rasuah juga. Mereka itu laksana pencuri yang melarikan diri di celah-celah orang ramai yang sedang memburunya, kemudian ikut sama melaungkan, ‘Pencuri! Pencuri!’ semata-mata bagi melepaskan dirinya.

Wahyu pertama yang ditetapkan oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW menjadi satu hikmah yang besar sebagaimana firman-Nya:

﴿ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ٥﴾

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). (1); Dia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. (2); Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. (3); Tuhan yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. (4); Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)” (Surah al-‘Alaq: 1-5)

Hal ini penting supaya semua ilmu itu berkonsepkan ketuhanan kepada Allah SWT kerana kita berada di bawah perintah-Nya di mana sahaja kita berada.

Seterusnya Allah SWT berfirman:

﴿هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلۡأُمِّيِّ‍ۧنَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ٤﴾

“Dialah yang telah mengutus kepada kaum yang buta huruf (ummiyyin), seorang Rasul (Nabi Muhammad SAW) daripada kalangan bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya), dan membersihkan mereka (daripada i‘tiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (al-Quran) dan Hikmah (kebijaksanaan al-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata. (2); Dan juga (telah mengutuskan Nabi Muhammad) kepada orang-orang yang lain daripada mereka, yang masih belum (datang lagi dan tetap akan datang) menghubungi mereka; dan (ingatlah), Allah jualah Tuhan yang Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana. (3); Demikian itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan sememangnya Allah mempunyai kurniaan yang besar. (4)” (Surah al-Jumu‘ah: 2-4)

Ayat di atas menunjukkan betapa acuan pendidikan Islam itu berkembang dalam kalangan seluruh bangsa yang menganut Islam, sehinggalah beberapa generasi yang berjasa kepada seluruh dunia.

Islam pada permulaannya di Makkah telah berjaya membentuk manusia dalam kalangan masyarakat paling buta huruf dan paling jahat, serta tiada sumber alam dan asas tamadun di padang pasir yang gersang. Jasad, roh dan akal mereka dibentuk dengan hidayah Allah SWT yang berkonsepkan aqidah, syariat dan akhlak.

Oleh yang demikian, mereka menjadi manusia yang berintegriti dan berwawasan dunia hingga akhirat. Sehinggakan, mereka berjaya menegakkan sebuah negara berdaulat yang bermasyarakat Madani yang majmuk dalam satu kawasan yang dinamakan Madinah setelah berhijrah ke sana.

Mereka berhijrah ke Madinah setelah ditolak oleh para pemimpin Makkah yang takut untuk menghadapi cabaran kemungkaran yang mengepung daripada segenap penjuru dunia. Mereka bukan sahaja terkepung oleh masyarakat Arab yang paling ganas di padang pasir yang membakar, bahkan juga kuasa besar dunia di timur dan barat yang zalim termasuklah para agamawan yang menipu.

Semuanya dibejati dengan kemungkaran yang mengepung Makkah. Oleh itu, mereka mempercayai bahawa ajaran Islam yang baik ini mustahil dapat dilaksanakan. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾

“Dan mereka (yang kafir) berkata: ‘Jika kami mengikuti petunjuk yang kamu bawa itu, nescaya kami dengan serta-merta ditangkap dan diusir dari negeri kami (oleh golongan yang menentang).’ Mengapa mereka (berkata demikian)? Bukankah kami telah melindungi mereka dan menjadikan (negeri Makkah) tempat tinggal mereka sebagai tanah suci yang aman, yang didatangkan ke tempat itu hasil tanaman daripada segala jenis, sebagai rezeki pemberian di sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka tidak memikirkan perkara itu untuk mengetahuinya (serta bersyukur).” (Surah al-Qasas: 57)

Namun, Islam berjaya membina insan yang sempurna dari sudut jasad, akal dan roh yang berkonsepkan aqidah, syariat dan akhlak. Sehinggakan, berjaya mengalahkan segala tentangan dan memecahkan kepungan terhadapnya dengan kekuatan manusia yang integritinya itu beriman dan budiman.

Salah satu contoh yang menarik, apabila Khalifah ‘Umar bin al-Khattab RA yang dilantik selepas kewafatan Rasulullah SAW pernah menyaksikan sendiri satu kejadian pada satu malam ketika beliau mengintip rakyatnya. Ketika itu beliau terdengar perbualan seorang wanita penjual susu yang mahu menipu dengan mencampurkan air ke dalam susu yang hendak dijual. Tiba-tiba anak gadisnya berkata:

إنه أمر مناديا فنادى لا يشاب اللبن بالماء.

“(Suara hatinya yang mengatakan) susu ini tidak boleh dicampur dengan air!”

Lalu, ibunya menyampuk:

يا ابنتاه قومي إلى اللبن فامذقيه بالماء فإنك في موضع لا يراك عمر ولا منادي عمر.

“Wahai anakku! Sudahlah, cepat kamu campurkan susu itu dengan air.  Kamu berada di tempat yang aman, di mana ‘Umar tidak akan mengetahui apa yang kamu lakukan. Dan tiada yang akan melaporkan hal itu kepada ‘Umar.”

Kemudian, lantas si anak gadis menjawab:

والله ما كنت لأطيعه في الملأ وأعصيه في الخلاء.

“Ibuku! Walaupun ‘Umar bin al-Khattab tidak mengetahuinya, tetapi demi Allah aku sangat menghormati dan patuh kepadanya, baik di hadapan khalayak ramai mahupun di belakangnya.” (Ibn ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, jld. 70, ms. 253)

Khalifah ‘Umar RA menandakan rumah tersebut bagi meminang anak gadis itu untuk dijadikan isteri kepada anaknya. Telah diriwayatkan bahawa daripada zuriatnya lahir Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz yang adil.

Walaupun Rasulullah SAW sudah wafat, namun itulah hasil daripada pendidikan Islam yang sempurna. Sehingga menyebabkan ia berlangsung selepas Islam berkembang kuasanya ke seluruh pelosok dunia di timur dan barat.

Seterusnya, diikut serta oleh para ilmuwan dari negara yang bertamadun dari segi kebendaan termasuk sains dan teknologi pada zamannya. Akan tetapi, tanpa prinsip Islam yang sempurna, para ilmuwan sebelumnya menjadi mangsa kezaliman kerana dianggap mencabar pihak yang berkuasa.

Sebaliknya, setelah mereka memeluk Islam, semua ilmu berjaya diislamkan bersama manusia yang memeluk Islam atau bernaung di bawah kerajaan Islam. Ia berterusan hingga terciptanya sebuah Hadarah Islamiyyah (Tamadun Islam) yang murni dan mencipta kemajuan dunia yang menjadi jambatan bahagia hingga ke Hari Akhirat.  

Ibn Khaldun RH menegaskan bahawa tamadun manusia mengalami jangka masa kehidupan seperti manusia juga yang menghadapi zaman dewasa, tua sehingga mereka nyanyuk dan menemui ajal. Begitu juga, berlaku perkara yang sama terhadap Tamadun Islam apabila berlaku kejahilan terhadap agama sendiri dan leka dengan kemewahan oleh para penganutnya. Kemudian, berlaku pusingan yang berikutnya.

Kini, kita menyaksikan Tamadun Barat yang menumpang Tamadun Islam tanpa panduan agama Islam, walaupun pada lahirnya mereka selamat apabila melepaskan diri daripada zaman kegelapan. Sehinggakan, mereka berjaya mencapai kemajuan yang disaksikan hari ini.

Akan tetapi, kemajuan yang telah dicapai oleh mereka sedang mengalami proses yang membakar diri sendiri. Keadaan itu berlaku dalam tempoh yang sangat pendek jika dibandingkan dengan sejarah Tamadun Islam yang berpanjangan berabad-abad lamanya dan berterusan sehingga beberapa generasi.

Pada masa yang sama, kita juga sedang menyaksikan bukan sahaja kemusnahan alam sekitar sebagaimana yang diuar-uarkan, bahkan juga kemusnahan jati diri manusia, institusi keluarga, politik yang tidak jujur, ekonomi yang tidak saksama. Sehingga mereka turut mencipta senjata pemusnah yang lebih ganas daripada binatang buas di rimba dan juga sains perubatan yang mengejar keuntungan, sehingga membawa kesan sampingan penyakit yang lebih berbahaya.

Demikian itulah hasil pendidikan yang tidak mengikut acuan Allah Pencipta alam. Perkara tersebut telah dinyatakan oleh firman-Nya:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ٤١﴾

“Telah timbul pelbagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbul kejadian yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian daripada balasan akibat perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). (Surah al-Rum: 41)

Tamadun Barat yang berkonsepkan jahiliah akan mengalami kemusnahan sepertimana tamadun pada zaman dahulu yang telah dinyatakan oleh Allah SWT supaya menjadi pengajaran kepada manusia pada hari ini. Firman-Nya:

﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ٦ إِرَمَ ذَاتِ ٱلۡعِمَادِ٧ ٱلَّتِي لَمۡ يُخۡلَقۡ مِثۡلُهَا فِي ٱلۡبِلَٰدِ٨ وَثَمُودَ ٱلَّذِينَ جَابُواْ ٱلصَّخۡرَ بِٱلۡوَادِ٩ وَفِرۡعَوۡنَ ذِي ٱلۡأَوۡتَادِ١٠ ٱلَّذِينَ طَغَوۡاْ فِي ٱلۡبِلَٰدِ١١ فَأَكۡثَرُواْ فِيهَا ٱلۡفَسَادَ١٢ فَصَبَّ عَلَيۡهِمۡ رَبُّكَ سَوۡطَ عَذَابٍ١٣﴾

“Apakah kamu tidak memperhatikan, bagaimana Tuhanmu berbuat terhadap kaum ‘Ad (yang kufur derhaka). (6); Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya. (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri?(8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di Lembah (Wadi) al-Qura? (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai pasak-pasak (tentera yang banyak)? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah berbuat sewenang-wenangnya dalam negeri (masing-masing). (11); Lalu, mereka berbuat banyak kerosakan dalam negeri itu. (12); Oleh yang demikian, Tuhanmu menimpakan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13)” (Surah al-Fajr: 6-13)

Tamadun Barat yang menjadi ikutan terkini adalah berasaskan acuan pendidikannya yang dianggap maju pada lahirnya, tanpa manusia berintegriti mengikut acuan Allah SWT itu telah menunjukkan tanda-tanda kemusnahannya. Acuan tersebut hanya sekadar memenuhi keperluan jasad, tanpa mengisi keperluan roh dan memberi panduan kepada akal makhluk yang bersifat lemah.  

Penyelamat kepada keadaan sedemikian ialah kembali kepada petunjuk Allah SWT setelah tersesat jalan kerana terpengaruh dengan Tamadun Barat yang tidak berpandukan hidayah-Nya.

Islam mempunyai acuan untuk membentuk jati diri manusia bagi memenuhi keperluan fitrahnya yang mencukupi, melalui ilmu fardu ‘ain dan fardu kifayah. Ia terkandung dalam semua aspek aqidah yang mencipta iman yang mengawal diri manusia dan amalan hubungan peribadi dengan Allah SWT, dirinya, keluarga, masyarakat dan alam semesta.

Semua aspek dalam acuan pendidikan Islam itu laksana mata rantai yang tidak berpisah antara satu sama lain. Bahkan, ia juga laksana hubungan nyawa dengan jasad dan pelbagai anggota dalam satu jasad seorang manusia yang tidak boleh dikerat. Sekiranya dikerat salah satu anggota, maka dirinya akan menjadi cacat atau mati.

Islam mewajibkan seseorang itu menuntut ilmu agama yang sempurna daripada wahyu, ‘aqliyyat dan tajribiyyat (pengalaman dan kajian) bagi memenuhi keperluan untuk beribadat, berkhilafah (mentadbir urusan dunia) dan beramanah. Hal ini sangat penting untuk menegakkan petunjuk Allah SWT berdasarkan panduan wahyu dan kepintaran akal dengan batas haram melampau dalam segala aspeknya. Firman Allah SWT:

﴿فَكَأَيِّن مِّن قَرۡيَةٍ أَهۡلَكۡنَٰهَا وَهِيَ ظَالِمَةٞ فَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَىٰ عُرُوشِهَا وَبِئۡرٖ مُّعَطَّلَةٖ وَقَصۡرٖ مَّشِيدٍ٤٥ أَفَلَمۡ يَسِيرُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَتَكُونَ لَهُمۡ قُلُوبٞ يَعۡقِلُونَ بِهَآ أَوۡ ءَاذَانٞ يَسۡمَعُونَ بِهَاۖ فَإِنَّهَا لَا تَعۡمَى ٱلۡأَبۡصَٰرُ وَلَٰكِن تَعۡمَى ٱلۡقُلُوبُ ٱلَّتِي فِي ٱلصُّدُورِ٤٦﴾

“Maka, berapa banyak negeri-negeri yang Kami telah membinasakannya dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah bangunan-bangunannya; dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang tersergam (telah kosong dan ditinggalkan). (45); Oleh itu, apakah mereka tidak mengembara di muka bumi (supaya dengan melihat kesan-kesan tersebut) mereka mempunyai hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau mempunyai telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? Kerana sesungguhnya bukanlah mata itu yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang berada dalam dada. (46)” (Surah al-Hajj: 45-46)

Apa yang telah berlaku dalam sistem sekularisme Barat dan mereka yang terpengaruh dengannya ialah ketidaksempurnaan mengikut kejadian dan peranan manusia, atau diputuskan sehingga berkecai tiada hubungan antara satu dengan yang lain. Sehinggakan, terdapat dalam kalangan manusia golongan yang terkeluar daripada sifat tabiinya. Allah SWT bertanya tentangnya melalui firman-Nya:

﴿أَفَمَن يَمۡشِي مُكِبًّا عَلَىٰ وَجۡهِهِۦٓ أَهۡدَىٰٓ أَمَّن يَمۡشِي سَوِيًّا عَلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ٢٢ قُلۡ هُوَ ٱلَّذِيٓ أَنشَأَكُمۡ وَجَعَلَ لَكُمُ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡأَبۡصَٰرَ وَٱلۡأَفۡ‍ِٔدَةَۚ قَلِيلٗا مَّا تَشۡكُرُونَ٢٣ قُلۡ هُوَ ٱلَّذِي ذَرَأَكُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَإِلَيۡهِ تُحۡشَرُونَ٢٤﴾

“Maka, apakah orang yang berjalan (melalui jalan yang tidak betul dan menyebabkannya selalu jatuh) tersungkur di atas mukanya itu; boleh mendapat hidayah ataupun orang yang berjalan tegak melalui jalan yang lurus? (22); Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Allah yang menciptakan kalian (dari tiada kepada ada), dan mengadakan bagi kalian pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kalian bersyukur); (tetapi) amatlah sedikit antara kalian yang bersyukur.’ (23); Katakanlah lagi: ‘Dialah Tuhan yang menjadikan kalian berkembang biak di bumi, dan kepadaNya jualah kalian akan dihimpunkan.’ (24)” (Surah al-Mulk: 22-24)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 24 Jumada al-Akhirah 1443 / 27 Januari 2022 – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -