Australia-Malaysia kukuh kerjasama strategik komprehensif

KUALA LUMPUR: Australia yakin hubungan perdagangan dan pelaburan dengan Malaysia akan bertambah baik pada tahun ini, memandangkan kedua-dua negara akan terus berusaha memulihkan ekonomi dalam tempoh pasca pandemik.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia Hannah Birdsey berkata keyakinan itu turut diterjemahkan melalui usaha sama kedua-dua negara yang terjalin di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP) pada tahun lalu.

Advertisement

“Pemulihan ekonomi sangat penting untuk kedua-dua negara pada saat ini. Kami melihat ia peluang sebenar agar kami dapat melakukan lebih banyak lagi dengan Malaysia.

“Kami akan terus beri penekanan dan usaha terhadap hubungan ini,” katanya dalam temu bual di Suruhanjaya Tinggi di sini, baru-baru ini.

Malaysia dan Australia mengukuhkan hubungan diplomatiknya menerusi CSP, membabitkan tiga bidang kerjasama – kesejahteraan ekonomi, masyarakat dan teknologi, serta pertahanan dan keselamatan serantau, pada 27 Januari 2021.

Di bawah CSP, Australia dan Malaysia telah memperkukuh kerjasama dalam hal pencemaran plastik marin, pengurusan sisa dan aliran ekonomi, serta tindak balas terhadap perubahan iklim dan cabaran alam sekitar yang lain.

Sementara itu, banyak syarikat Australia berminat menjadikan Malaysia sebagai destinasi eksport atau pelaburan, katanya.

Pada 2020, Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Australia di ASEAN, dan ke-11 terbesar dengan jumlah dagangan dua hala bernilai U$19.3 bilion (RM58 bilion).

Malaysia juga merupakan destinasi pelaburan kedua terbesar Australia di ASEAN, selepas Singapura. Birdsey berkata ekonomi digital dan keselamatan siber juga mempunyai peluang besar ke arah kerjasama lebih lanjut, sambil menambah bahawa Australia bersedia menawarkan kepakaran dan pengalamannya dalam bidang itu.

“Kami ingin berkongsi pengetahuan, dan membina hubungan antara agensi kerajaan, berkongsi ilmu, cabaran dan bergerak maju ke hadapan bersama-sama,” katanya.

Malaysia merupakan negara kelapan menyumbang kepada jumlah ketibaan antarabangsa, dengan hampir 385,000 rakyatnya melawat Australia dan lebih 368,000 warga Australia melawat Malaysia pada 2019.

Menurut Suruhanjaya Tinggi, pada 2019, Malaysia menduduki tangga keenam dengan jumlah pelajar antarabangsa melebihi 24,000 menuntut di Australia.

Hubungan dua hala Malaysia dan Australia terjalin sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. 

Australia menubuhkan Suruhanjaya Australia (kemudian Suruhanjaya Tinggi) di Kuala Lumpur pada tahun 1955 manakala Malaysia (Malaya ketika itu) menubuhkan Suruhanjaya Persekutuan Tanah Melayu di Canberra pada 1956.

Hari ini, hubungan itu kekal utuh, dinamik dan berkembang pesat merentas pelbagai sektor. Ia merangkumi hubungan dalam bidang geopolitik, ekonomi dan keselamatan, pendidikan, dan pelancongan serta baru-baru ini menyaksikan kerjasama baharu seperti memerangi penyeludupan manusia, sukan dan keselamatan siber.

Selain hubungan dua hala, kedua-dua negara juga bekerjasama rapat dalam platform serantau dan antarabangsa termasuk melalui Kerjasama Dialog ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Asia Timur, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Komanwel, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara.

Dalam sektor ekonomi dan perdagangan, Australia dan Malaysia turut terlibat dalam Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA), Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand (AANZFTA), Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). – BERNAMA