Agensi agama perkasakan ekonomi ummah

- Advertisement -

AGENSI agama adalah tunjang pemerkasaan hal ehwal Islam di Malaysia. Peranannya amat besar dan signifikan, terutama dalam menguruskan wang zakat dan baitulmal serta memperkasa ekonomi umat. Justeru, amanah ini bukanlah suatu perkara yang boleh dipandang enteng.

Begitulah sebahagian dari amanat yang disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Idris Ahmad dalam Majlis Perhimpunan Agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) petang ini. 

- Advertisement -

Amanat yang amat mendalam dan harus disemat dalam diri setiap kakitangan agensi agama. Alhamdulillah dalam majlis yang sama juga, turut diadakan perasmian Projek Agropreneur Asnaf dalam misi kita membangun ekonomi ummah. 

Program di bawah MAIWP dengan kolaborasi syarikat pertanian bumiputera, Grasicili ini bakal memberikan latihan pertanian dan menyediakan peralatan bertani kepada asnaf agar mereka dapat mengusahakannya sendiri. Semoga usaha kecil ini sedikit sebanyak dapat membantu asnaf menjalani kehidupan baharu.

Terima kasih kesemua 14 jabatan dan agensi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bersama kami mendepani cabaran ini. Semoga segala hala tuju dan amanat yang disampaikan dapat kita sempurnakan dengan jayanya.

Semoga agensi lslam terus teguh dalam memartabatkan lslam dan membentuk masa depan Keluarga Malaysia.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 27/1/2022

- Advertisement -