SWCorp ‘Trash to Cash’ jana RM32,000 kepada awam

- Advertisement -

ALOR GAJAH: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka melaksanakan 97 program ‘Trash to Cash‘ sepanjang tahun lepas, melibatkan pulangan wang kira-kira RM32,000 kepada rakyat.

Penolong Pengarahnya Siti Rohayu Mohd Isa berkata program itu membolehkan masyarakat setempat yang mempunyai barangan kitar semula, sisa bahan fabrik dan minyak masak terpakai, menjana pendapatan menerusi pulangan wang tunai berdasarkan timbangan barangan tersebut.

- Advertisement -

“Pada tahun lepas, walaupun terdapat kekangan ekoran pelaksanaan sekatan pergerakan, SWCorp Melaka berjaya menganjurkan 97 program ‘Trash to Cash‘, iaitu hampir mencapai sasaran 100 program setiap tahun.

“Program ini boleh disertai pelbagai pihak antaranya komuniti, sekolah, institusi pengajian tinggi dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Kita akan hadir ke kawasan mereka untuk mengutip barangan terlibat dan memberikan wang tunai selepas timbangan barangan dilakukan,” katanya pada program itu di Taman Rekreasi Datuk Wira Poh Ah Tiam, Machap Baru, di sini hari ini.

Program berkenaan dirasmikan ADUN Machap Jaya yang juga Exco Perpaduan, Penerangan, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri Ngwe Hee Sem, serta turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin.

Mengulas lanjut, Siti Rohayu berkata harga barangan kitar semula seperti tin dan botol akan dibayar mengikut kadar semasa manakala satu kilogram minyak masak (RM1) dan satu kilogram sisa fabrik (10 sen).

Beliau berkata program tersebut dilaksanakan bukan sahaja bertujuan mendidik dan menggalakkan orang ramai menguruskan sampah dengan bijak supaya boleh dikitar semula, tetapi juga menjadikan amalan itu sebagai peluang untuk meraih pendapatan. 

“Masyarakat setempat, sekolah, NGO dan sebagainya boleh menghubungi SWCorp Melaka untuk kita menyusun atau mengatur jadual kutipan barangan kitar semula, sisa fabrik atau minyak masak,” katanya.

Sementara itu, Ngwe berkata program itu perlu diadakan lebih kerap di kawasan penempatan dan bukan secara bermusim seperti sambutan Tahun Baharu Cina.

Beliau berkata menerusi program itu, barangan kitar semula dapat dibuang secara sistematik, sekali gus memastikan persekitaran penempatan penduduk bersih, selesa dan cantik.

“Melaka merupakan negeri pelancongan dan kita perlu memastikan tahap kebersihan (yang baik) di semua kawasan di negeri ini agar dapat menarik lebih ramai pelancong,” katanya. – BERNAMA 

- Advertisement -