Sabah lakar sejarah kutip hasil RM5.449 bilion

Foto daripada Facebook Hajiji Haji Noor.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sabah melakar sejarah baharu menerusi kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember lalu.

Sehubungan itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat atas kejayaan itu.

Beliau menyatakan perkara itu menrusi hantaran di laman Facebooknya, semalam yang turut memuatkan foto-foto Majlis Perhimpunan Penjawat Awam Persekutuan dan negeri di Sabah International Convention Centre (SICC) yang dihadiri secara bersemuka seramai 900 penjawat awam.

- Advertisement -

Hajiji turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penjawat awam negeri dan persekutuan yang terlibat dalam pengurusan pandemik di negeri itu.

“Alhamdulillah, berkat kerjasama dan komitmen semua, kita berupaya menggerakkan usaha berterusan menangani Covid-19 dari segenap aspek.

“Kita juga telah melakar sejarah baharu menerusi kutipan hasil negeri yang telah menembusi angka RM5 bilion iaitu RM5.449 bilion bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2021,” ujarnya.

Menurutnya, bagi membolehkan rakyat mendengar, melihat dan merasai nilai dan makna di sebalik Hala Tuju Sabah Maju Jaya, setiap kementerian akan membentangkan status pelaksanaan dan pencapaian mereka pada setiap tahun melalui Laporan Status Pelaksanaan dan Pencapaian Tahunan bermula dengan tahun pertama pada 29 Mac 2022.

Di samping itu, ujar beliau memperkasa transformasi perkhidmatan awam juga merupakan usaha untuk memastikan mempunyai pasukan terbaik sejajar dengan cabaran dan tuntutan zaman.

“Saya yakin bahawa kita mampu untuk menghadapi pelbagai cabaran antaranya menangani krisis kesihatan awam, pemulihan ekonomi dan pengurusan bencana menerusi semangat kerjasama demi membina masa depan tanah air yang lebih gemilang, aman dan makmur,” katanya.

Pada satu hantaran lain, beliau menyatakan kerajaan negeri komited dalam usaha memulihkan serta membangunkan negeri ini menerusi pengurusan Covid-19 yang efektif.

Tambahnya, kerjasama yang lebih baik di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang lebih holistik, disokong dengan pelaksanaan strategi baharu meliputi kerjasama dalam dan luar negara beserta pembangunan modal insan sekali gus mentransformasikan perkhidmatan awam yang mencakupi sistem penyampaian serta kebajikan para penjawat awam. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -