Mutiara ganti SKMK sedia bas henti-henti di Kelantan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan negeri dengan kerjasama Konsortium E-Mutiara Berhad mewujudkan sistem pengangkutan bas henti-henti di Kelantan bermula 1 Februari ini.

Exco Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Noor berkata, pada peringkat awal hanya dua laluan dimulakan iaitu Kota Bharu-Gua Musang dan Kota Bharu-Jertih.

Kata beliau selebihnya kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengenal pasti lokasi hentian bas yang sesuai untuk mengambil dan menurunkan penumpang.

- Advertisement -

“Kita sudah meluluskan syarikat terbabit untuk melaksanakan perkhidmatan bas henti-henti bermula dengan dua laluan tersebut bagi peringkat awal.

“Lepas itu kita akan laksanakan seluruh Kelantan. Melalui PBT kita akan kenal pasti bas itu hendak berhenti dan ambil penumpang di lokasi mana,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim hari ini.

Azami berkata, kerajaan negeri berterima kasih kepada syarikat tersebut kerana menyediakan sistem pengangkutan awam menggantikan Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan (SKMK).

Menurutnya juga biarpun perkhidmatan tersebut tidak menguntungkan, namun beliau memberi jaminan inisiatif itu tidak mendatangkan kerugian kepada pengurusan syarikat terbabit.

“Alhamdulillah, kita terima kasih kepada syarikat E-Mutiara yang mengambil alih peranan menyediakan sistem pengangkutan awam untuk memberi kemudahan kepada rakyat.

“Kita harap orang ramai akan selesa menggunakan perkhidmatan bas terbabit, walaupun perkhidmatannya tidak menguntungkan sebaliknya diyakini tidak merugikan syarikat,” kata beliau.

Sistem pengangkutan awam di Kelantan sebelum ini dikendalikan SKMK, namun terpaksa menghentikan operasinya kerana masalah kewangan.

Konsortium E-Mutiara sebelum ini mengendalikan perkhidmatan bas ekspress ke seluruh destinasi terutamanya bandad-bandar besar di Semenanjung. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -