Membersihkan bau mulut sebelum hadir ke masjid

- Advertisement -

HADIR ke masjid dalam keadaan bersih merupakan satu amalan yang amat dituntut di sisi syarak.

Nabi S.A.W melarang mereka yang memakan makanan yang berbau busuk mendekati atau menghadiri masjid dalam keadaan tidak dibersihkan mulut terlebih dahulu. 

- Advertisement -

Ini berdasarkan sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar R.A, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

مَنْ أَكَلَ مِنْ هَذِهِ الشَّجَرَةِ – يَعْنِي الثُّومَ – فَلاَ يَقْرَبَنَّ مَسْجِدَنَا

“Sesiapa yang makan dari pohon ini – iaitu bawang putih – maka janganlah dia mendekati masjid kami.”

[Riwayat Al-Bukhari (853)]

Larangan pada Hadis ini menunjukkan ianya adalah perbuatan yang makruh dan tidaklah sampai kepada hukum haram.

Begitu juga larangan tersebut tidaklah merujuk kepada bawang putih sahaja, tetapi termasuk juga segala makanan lain atau bukan makanan yang menghasilkan bauan yang busuk dan mengganggu para jemaah yang lain seperti rokok dan bau badan.

Ini kerana dalam riwayat yang lain Rasulullah S.A.W menyebut:

وَلاَ يُؤْذِيَنَّا بِرِيحِ الثُّومِ

“Janganlah dia menyakiti kami dengan bau bawang tersebut.”

[Riwayat Muslim (562)]

Oleh itu, setiap bau yang menyakiti para jemaah turut termasuk dalam larangan di dalam Hadis ini. Maka lebih baik kita membersihkan mulut dan diri kita sebelum pergi ke masjid agar tidak mengganggu jemaah lain.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -