Lelaki didakwa di mahkamah curi meter air AKSB

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kegiatan mencuri meter air milik Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) akhirnya terbongkar apabila seorang lelaki ditangkap pada Khamis lepas.

Tangkapan itu hasil kerjasama anggota polis turut menemui beberapa meter air, paip tembaga dan alat-alat pertukangan paip. Lelaki terbabit direman beberapa hari untuk siasatan lanjut.

Tertuduh dipercayai bekerja mengambil upah kerja-kerja membaiki paip sebelum ini.

- Advertisement -

Penasihat Undang-Undang AKSB (Unit Perundangan dan Penguatkuasaan) Nasrul Mohamed berkata, lelaki terbabit didakwa di Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Katanya, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Pertuduhan dibuat secara maya disebabkan tertuduh dimasukkan ke wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

“Tertuduh mengaku bersalah dan dijamin sebanyak RM2,800. Kes ditangguh kepada 6 Mac hadapan untuk fakta dan hukuman,” katanya di sini hari ini.

Nasrul juga berkata, AKSB sebelum ini menerima aduan daripada orang ramai tentang kegiatan mencuri meter secara aktif di sekitar Kota Bharu.

Ekoran itu katanya, tindakan segera diambil Unit Perundangan dan Penguatkuasaan AKSB bersama Pejabat Jajahan Kota Bharu Utara, Kota Bharu Selatan dan Kota Bharu Timur.

“Rondaan berkala secara intensif siang dan malam dibuat dan kerjasama erat PDRM akhirnya membuahkan hasil sehingga berlaku penangkapan tersebut.

“Terima kasih di atas segala maklumat dan kerjasama yang diberikan semua pihak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -