Kelantan rintis pengurusan hutan lestari di Malaysia

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Kerajaan Kelantan berusaha memastikan pembangunan hutan diurus dengan cekap untuk menjadi contoh pengurusan hutan lestari di Malaysia.

Bagi mencapai matlamat tersebut kerajaan negeri menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat Nextgreen Global Berhad (NGGB).

Pengarah Urusan NGGB, Dato’ Lim Thiam Huat berkata, menerusi perjanjian itu, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh terhadap pelaksanaan projek tersebut.

- Advertisement -

Katanya, Syarikat Tujuan Khas (SPV) akan merealisasikan matlamat pelaburan secara mampan.

“Projek tersebut mempunyai lima kompenan iaitu pusat pengumpulan dan pemprosesan sisa kelapa sawit, ladang hutan lestari, kilang pulp, kilang makanan haiwan.

“Selain itu kilang baja di mana kesemuanya melibatkan nilai pelaburan kira-kira RM2.3 biion.

“Pelaburan tersebut juga dijangka menawar 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat dengan kekayaan sumber asli yang ada di Kelantan,” katanya pada kenyataan sempena program berkenaan hari ini.

MoU tersebut ditandatangani Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Dr Tengku Mohamad Faziharudean Tengku Feissal dan Thiam Huat.

Ia disaksikan Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Thiam Huat juga berkata, pembangunan hutan lestari berpotensi berkembang melalui pelan hala tuju ekonomi hijau.

“Pelan jangka panjang termasuk pengurusan hutan, namun ia memerlukan pelaburan besar membabitkan aktiviti perniagaan yang lebih hijau,” katanya.

Beliau juga menyifatkan usahasama itu sebagai langkah tepat bagi mencapai agenda teknologi hijau negara berdasarkan rangka kerja Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -