Kebakaran: Muslim Care bagi sumbangan awal RM50,000

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Muslim Care Malaysia (MCM) memberi bantuan awal sebanyak RM50,000 kepada mangsa kebakaran di Pusat Pengajian Taman Islam, Kampung Bakau Tinggi, Kemaman.

Menurut Exconya, Dr Riduan Mohamad Nor, pihaknya menziarahi tujuh keluarga yang terlibat dalam kebakaran termasuk mudir institusi terbabit, Ustaz Abdul Wahab Ali.

“MCM telah menyerahkan sumbangan RM50,000 sebagai bantuan awal dan insya-Allah kami buat lagi kutipan dengan sasaran sebanyak RM250,000.

- Advertisement -

“Duit itu untuk kita membina kembali sebahagian besar daripada rumah terbabit,” katanya ketika ditemui Harakahdaily di Kampung Pandan, di sini hari ini.

Menurutnya, pusat pengajian di Kemaman itu adalahinstitusi pengajian Islam swasta telah berjasa dalam tempoh empat dekad termasuk melahirkan ribuan para pendakwah dan asatizah yang bergerak di seluruh negara.

Kata beliau, antaranya seperti almarhum Ustaz Rizuan Rahmat, Ustaz Dato’ Basri Mohamad, Ustaz Nazmi Karim dan ribuan lagi.

“Institusi ini sangat berjasa memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak remaja seluruh negara bukan sahaja di Terengganu.

“Jadi menjadi kewajipan kepada Muslim Care melihat kepada kepentingan Pusat Pengajian Taman Islam ini untuk kita terus bantu, memerhatikan dari sudut keselamatan dan pemberdayaan.

“Kita akan buat lawatan susulan untuk kita memantau projek tujuh buah rumah yang bakal dibuat, insya-Allah,” katanya.

Semalam, beliau bersama Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail dan Exco MCM, Ahmad Safuan Ujar melawat lokasi kebakaran sekali gus memberikan sumbangan.

Menurut Riduan, bantuan awal RM10,000 untuk diagihkan bagi membeli keperluan asas seperti tilam, selimut, dapur dan makanan, selepas itu baharu diselesaikan urusan pembinaan rumah.

“Rumah pertama yang kita setuju semalam adalah Ustaz Li dan juga Ustaz Abd Wahab. Lepas itu jika ada lebihan kita akan menyusul untuk pembinaan rumah lain,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut dihubungi Ahi Dewan Undangan Negeri (Adun) Cukai, Hanafiah Mat yang mengucapkan terima kasih di atas bantuan yang diberikan.

“Insya-Allah (pembinaan rumah) boleh dicapai, sebab kami dihubungi oleh Haji Hanafiah Mat, dia mengucapkan terima kasih, maknanya boleh bekerjasamalah,” katanya.

Semalam, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri melawat mangsa-mangsa kebakaran itu dan turut menyampaikan sumbangan.

Beliau melahirkan rasa sedih melihat keadaan mereka kebanyakan hilang harta dan barang-barang secara keseluruhannya dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.30 pagi semalam. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -