Cabaran besar ketuai MPP UniMAP ketika pandemik

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sesi 2021/2022 Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan mengakui cabaran sebagai pemimpin pelajar begitu besar.

Lebih-lebih lagi katanya pada era pandemik Covid-19 sekarang memerlukan MPP bergerak lebih pantas dan mempunyai intelektual yang tinggi.

Kata beliau ia bagi menangani isu-isu berbangkit dan perkara-perkara yang tergendala disebabkan pandemik.

- Advertisement -

“Kami menyasarkan pembaharuan dan pelan tindakan yang berteras keunggulan sahsiah, keprihatinan kebajikan mahasiswa dan kebersamaan dalam menerajui mahasiswa.

“Melalui sasaran tersebut saya yakin dapat membina dan membantu mencapai kedudukan mahasiswa yang harmoni, intelek dan terjaga kebajikannya,” katanya ketika ditemui semalam.

Ahmad Akif bersama enam lagi pelajar diumumkan pemenang apabila meraih jumlah undi tertinggi pada Pilihan Raya Kampus UniMAP 12 Januari lepas.

Tahun ini seramai 6,715 pelajar daripada 13,059 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi memilih tujuh kerusi Konstituensi Umum dan 17 kerusi (Konstituensi Fakulti) serta tiga kerusi (Konstituensi Khas).

Seramai 27 pelajar dari pelbagai fakulti dilantik sebagai ahli jawatankuasa selepas dipilih melalui kaedah pengundian dalam talian (e-voting) bagi menggantikan kaedah pengundian konvensional.

Ahmad Akif juga berkata, kerjasama rakan bersama-sama menerajui kepimpinan MPP supaya dapat berjuang demi kebajikan mahasiswa.

“Saya juga mengambil tanggungjawab memastikan hubungan dan kerjasama yang baik antara pelajar, MPP dan pihak pengurusan bagi meningkatkan nama dan prestasi UniMAP.

“Kami akan memastikan kualiti terbaik dalam pembentukan peribadi graduan yang akan mengambil alih tampuk pemerintahan negara satu hari nanti,” katanya.

Menurutnya juga terpilih sebagai YDP MPP bukan satu kebanggaan, sebaliknya perlu menggalas tanggungjawab berat demi kebaikan semua.

Beliau turut merakam penghargaan kepada rakan seperjuangan dan staf UniMAP terutama pengurusan tertinggi universiti kerana memberi kepercayaan kepadanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -