Cabaran baharu menanti dalam Pilihan Raya Negeri Johor

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bakal diadakan tidak lama lagi, menambah senarai panjang PRN dan Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Keputusan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dan diperkenankan oleh Sultan Johor, bermakna satu lagi PRN diadakan bukan kerana dibubarkan atau terbubar sendiri selepas tamat tempoh 5 tahun.

- Advertisement -

Seperti PRN Sabah dan Melaka, DUN Johor dibubarkan walaupun kerajaan yang ada masih boleh memerintah sehingga Mei 2023.

Menyusuri pembubaran DUN Johor, Hasni menjadikan ketidakstabilan kerajaan negeri sebagai alasan untuk mendapatkan mandat rakyat bagi membentuk kerajaan baharu yang kukuh.

Beliau mendakwa pada mulanya hanya mahu mengadakan PRK DUN Kempas berikutan kematian penyandang, Datuk Osman Sapian, selepas pembangkang Johor memberi komitmen akan bekerjasama memastikan pentadbiran kerajaan negeri yang stabil.

Namun insiden pembangkang Johor membawa rundingan Majlis Tindakan Daerah (MTD) pada Sidang DUN Johor selepas Belanjawan Johor 2022 dibentangkan, November lalu, dikatakan mengubah pendiriannya.

Ini berikutan undian menerusi rundingan itu membawa kepada keputusan seri 27-27 apabila undian di DUN dilakukan. Namun, Speaker DUN, Suhaizan Kaiat, yang memutuskan untuk berpihak pada kerajaan menjadikan keputusan undian 28-27, membolehkan kerajaan Johor tidak tergantung.

Hasni menyifatkan insiden itu membuktikan kerajaan Johor amat tidak stabil dan berada atas ihsan pembangkang lalu memutuskan untuk mendapatkan mandat baharu rakyat.

Pakatan Harapan (PH) Johor pula berpendirian bahawa sekarang bukan masa sesuai untuk mengadakan PRN kerana rakyat sedang berdepan pelbagai isu, termasuk ekonomi, penularan Covid-19 meliputi varian Omicron dan bencana banjir.

Tindakan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengadakan PRN Johor, juga dilihat sebagai helah untuk mengambil kesempatan ketika ramai rakyat negeri ini, dijangka menghadapi kesukaran untuk pulang mengundi.

Selain itu, PH Johor sebagai blok pembangkang terbesar di DUN mendakwa memberikan kerjasama agar pentadbiran kerajaan negeri berjalan dengan baik.

“Penggal pentadbiran berbaki lebih kurang setahun saja lagi. Mengapa tidak boleh tunggu sehingga keadaan kesihatan dan ekonomi negara lebih stabil?

“Kami juga cukup yakin bahawa inilah kerisauan, hasrat dan nurani rakyat biasa ketika ini. Malah, pelaksanaan PRN yang bakal menelan belanja sekurang-kurang RM150 juta adalah suatu pembaziran wang rakyat,” mengikut kenyataan bersama pemimpin PH Johor, baru-baru ini.

Namun keputusan mengumumkan pembubaran DUN adalah kuasa Menteri Besar yang telah digunakan dan sama ada suka atau tidak, PRN bakal berlangsung.

Dalam PRU-14, BN kehilangan Johor buat kali pertama selepas kemerdekaan apabila hanya menang 19 kerusi (Umno 17 dan MIC 2). PH pula memenangi 36 kerusi (DAP 14, Amanah 9, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) 8 dan PKR 5. PAS pula mendapat 1 kerusi.

Sebelum pembubaran DUN, kerajaan Johor diwakili oleh 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu 16 dari BN dan 12 dari Perikatan Nasional (PN) dengan BN diwakili oleh Umno (14) dan MIC (2). PN pula diwakili Bersatu (11) dan PAS (1). Pembangkang diwakili oleh 27 ADUN PH, iaitu DAP (14), PKR (7) dan Amanah (6).

Kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor

Bagaimana pula dengan PRN Johor? Adakah keputusan PRU-14 yang menyaksikan BN, terutama Umno tumbang dan PH muncul pemenang akan berulang?

Selepas lebih tiga tahun PRU-14, situasi politik negara melalui banyak perubahan dan ini dapat diukur melalui keputusan 12 PRK dan 3 PRN di Sabah, Melaka dan Sarawak.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menaungi BN, PN dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membentuk kerajaan di Sabah. BN mencapai kemenangan di Melaka dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak. PH pula mengalami kekalahan teruk, terutama di Melaka dan Sarawak.

Adakah trend politik, terutama di Melaka dan Sarawak akan memberi sebarang impak terhadap PRN Johor?

Bagi Profesor Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Sivamurugan Pandian, apabila Menteri Besar Johor membuat keputusan untuk membubarkan DUN walaupun boleh menunggu sehingga PRU-15, ini menunjukkan keyakinannya untuk BN dan Umno menang.

Katanya, keyakinan itu menunjukkan bahawa Umno mahu mendapatkan mandat untuk pengukuhan dalaman parti itu.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Politik & Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub, pula berpandangan `game’ di Johor berbeza berbanding Melaka, Sarawak dan Sabah kerana faktor dinamisme politik Johor yang membawa kemunculan politik baharu.

“Dalam PRU-14, PAS menang di DUN Bukit Pasir sedangkan parti itu berada di politik tepi dan bukan di politik perdana Johor. Ini yang menyebabkan saya berpandangan bahawa PRN Johor sukar diramalkan. Ini juga keunikan Johor yang tiada di negeri lain,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada parti boleh mendabik dada mendakwa akan menang besar, terutama apabila buat kali pertama pengundi muda, iaitu yang berumur 18 tahun dan ke atas layak mengundi.

Katanya, kehadiran kira-kira 175,000 pengundi baharu berumur antara 18 hingga 20 tahun menyebabkan semua parti politik perlu memberi perhatian terhadap isu membabitkan golongan muda kerana dalam pilihan raya, setiap satu undi amat penting.

Dr Sivamurugan bersetuju bahawa Johor akan menjadi pentas uji kaji pengundi muda, tetapi masih terlalu awal untuk melihat gelagat pengundian mereka, sama ada akan membuat keputusan sendiri atau mengikut trend ibu bapa, media dan rakan sebaya.

Undi 18 juga dikaitkan dengan penubuhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA). Sama ada MUDA akan memberi impak dalam PRN Johor, katanya ini bergantung kepada gerak kerja parti itu yang boleh memberi saingan kuat jika bekerjasama dengan PH.

Berdasarkan perkembangan semasa, Umno Johor menyatakan pendirian mahu bertanding secara solo dan jika ini berlaku, sudah tentu pertembungan dengan Bersatu, suatu yang menarik diperkatakan.

Umno dilahirkan di Johor yang juga kubu kuat parti itu sehingga PRU-14. Parti itu tidak mungkin ke PRN jika tidak yakin boleh mendapat majoriti besar.

Namun, Bersatu juga mempunyai akar umbi yang kuat di Johor. Dalam PRU-14, parti itu menang 8 DUN dan 5 Parlimen, selain Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri dari negeri itu.

Dr Sivamurugan melihat bekas Perdana Menteri yang memenangi DUN Gambir dalam PRU-14, tetapi membuat keputusan tidak mempertahankan kerusi itu dan sebaliknya mahu muka baharu ditonjolkan, sudah tentu mahu memastikan Bersatu melebarkan kemenangan di Johor.

Namun masalahnya ialah PRN bukan hanya antara Umno/BN dan Bersatu/PN. Oleh itu, pertembungan tiga penjuru seperti yang berlaku di Melaka boleh berulang yang mungkin menguntungkan dan merugikan parti tertentu.

Kapten (B) Haji Najib Lep memenangi kerusi tunggal PAS di kawasan DUN Bukit Pasir dalam PRU-14

PAS pula hanya menang satu kerusi dalam PRU-14. Kejayaan ini mungkin dipandang sebelah mata, tetapi seperti kata Dr Mohammad Tawfik, kemenangan itu dicapai di negeri yang selama ini hanya mengenal Umno. Kejayaan walaupun satu kerusi amat penting untuk memberi lebih banyak pendedahan kepada penduduk Johor.

Walaupun PAS gagal di PRN Melaka dan juga di Sarawak, pandangan Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian, mengenai prestasi PAS di Melaka, menarik untuk dianalisis.

Penganalisis politik itu berpandangan bahawa kegagalan PAS menawan sebarang kerusi di Melaka tidak harus dipandang sedemikian kerana usaha untuk memperoleh sokongan pengundi dalam perjuangan politik lazimnya berupaya dicapai secara berperingkat.

“PAS masih ada kekuatan dan kalau kita tengok perangkaan rasmi, andainya mereka dapat peroleh 10 hingga 11 peratus undi pun sudah mencukupi sebagai langkah permulaan kerana meraih sokongan tidak berlaku dalam sekelip mata. Mungkin dalam satu atau dua penggal lagi, PAS bakal melakar kejayaan,” katanya.

Bagaimana pula kedudukan PH selepas mempamerkan keputusan kurang memberangsangkan dalam PRN Melaka dan Sarawak?

Bukan rahsia bahawa perselisihan faham dalam kalangan parti PH seperti yang berlaku di Melaka dan Sarawak memberi kesan terhadap imej PH hingga ditolak oleh pengundi. Natijahnya, PKR gagal menang satu kerusi pun dalam PRN Melaka dan Sarawak.

Kedudukan PH hanya boleh berubah jika berjaya meminimumkan isu dalaman dan merapatkan barisan bersama parti pembangkang lain.

Dari segi isu, apakah isu nasional relevan dijadikan isu dalam kempen di Johor? Berdasarkan pengalaman lalu di PRK dan PRN, isu tempatan lebih dominan.

Isu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menerima tanah kerajaan bernilai RM100 juta, dimainkan dalam kempen PH di PRN Melaka. Namun isu ini tidak memberi kesan langsung kepada pengundi di negeri itu, malah PH mengalami kekalahan teruk.

Bagi Dr Sivamurugan, isu sebenar yang lebih penting ialah berkaitan sara hidup, ekonomi, kesihatan dan pendidikan serta pekerjaan.

“Isu tempatan akan mendominasi walaupun ada pihak mahu membawa isu nasional. Isu integriti memang penting, tetapi saya rasakan kurang mendapat perhatian, terutama pengundi luar bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/1/2022

- Advertisement -