Arab Saudi, Thailand buka lembaran baharu hubungan

Prayut Chan-o-cha (kiri) mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman di Riyadh, bersempena lawatan rasmi selama dua hari dari 25 hingga 26 Januari 2022.
- Advertisement -

RIYADH: Arab Saudi dan Thailand membuka lembaran baharu dalam hubungan kedua-dua negara pada Selasa (25 Jan), dengan rancangan pemulihan hubungan diplomatik penuh dan pertukaran duta.

Tindakan itu dibuat ketika Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha tiba di Riyadh untuk lawatan rasmi dua hari di Saudi.

- Advertisement -

Prayut mengadakan perbincangan dengan Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman dan barisan menteri kerajaan negara itu, serta membincangkan peluang pelaburan dengan pengerusi syarikat gergasi tenaga Saudi, ACWA, Mohammad bin Abdullah Abunayyan, dan melawat daerah bersejarah Al-Turaif di ibu negara di sini.

Dalam perbincangan mereka, putera mahkota dan Prayut menekankan kesungguhan kedua-dua negara untuk mengukuhkan hubungan persahabatan dan membuka lembaran baharu dalam hubungan mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, Arab Saudi dan Thailand mengesahkan semangat kerjasama dan berkongsi keputusan untuk menghidupkan semula persahabatan dan hubungan baik antara mereka dan rakyat mereka, dan bersetuju untuk memulihkan sepenuhnya hubungan diplomatik.

Prayut berkata, negaranya amat mementingkan hubungan persahabatan dengan Arab Saudi, dan berminat untuk menamatkan semua isu tertunggak antara kedua-dua negara. 

Beliau melahirkan rasa kesalnya terhadap peristiwa tragis yang berlaku di Thailand pada 1989 dan 1990, dan berkata kerajaan Thailand telah berusaha keras untuk menyelesaikan isu-isu sebelum ini.

Thailand juga menekankan komitmennya terhadap perlindungan diplomat Arab Saudi di Thailand, selaras dengan Konvensyen Vienna, dan berkata ia akan membangkitkan isu sebelum ini dengan pihak berkuasa yang berwibawa jika bukti baharu muncul.

Sehubungan itu, Prayut mengucapkan tahniah kepada Arab Saudi atas kejayaannya menganjur dan mengadakan mesyuarat sidang kemuncak G20, dan keputusan positif yang terhasil daripadanya. 

Sementara itu, Putera Mahkota Saudi dalam kenyataannya pula berkata, beliau yakin penganjuran Thailand beberapa forum ekonomi tahun ini akan membantu mencapai pertumbuhan yang mampan dan seimbang.

“Syarikat penerbangan Saudia yang merupakan syarikat penerbangan nasional kerajaan Arab Saudi akan meneruskan penerbangan terus ke Thailand menjelang Mei tahun ini,” ujarnya. – Arab News

- Advertisement -