Ustazah Siti Khadijah pertahan PAS ketika krisis perpecahan

- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto HANIFF ABD RAHIM

JASIN:
Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin, Ustazah Siti Khadijah Shaari, 52, disifatkan sebagai insan yang teguh mempertahankan parti ketika PAS berdepan krisis perpecahan pada tahun 2015 dahulu.

Menurut Yang Dipertua PAS kawasan, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek, ini adalah kerana Almarhumah mempunyai sifat wala’ yang tinggi dan sentiasa patuh pada arahan pimpinan.

- Advertisement -

“Dia antara yang mempertahankan parti ketika krisis 2015 yang berlaku perpecahan PAS dulu. Di antara beberapa Muslimat Kawasan Jasin yang saya kenali ada beberapa orang yang agak goyah ketika itu. Tetapi Almarhumah sedikit pun tak goyah.

“Beliau bersama dengan beberapa orang rakan-rakannya termasuk Mak Piah (aktivis veteran Muslimat PAS Melaka) dan beberapa orang lagi. Itulah watak-watak yang mempertahankan PAS dari kalangan Muslimat PAS Jasin ketika itu yang begitu terkedepan,” ujar mantan Pesuruhjaya PAS Melaka itu.

Ustaz Kamarudin berkata demikian kepada Harakahdaily ketika ditemui seusai solat jenazah Almarhumah di Masjid Kampung Ayer Barok pagi tadi.

Tambahnya, seingat beliau, ketika beliau baru pulang daripada Universiti Al Azhar dan mula aktif bersama PAS kawasan ini 20 tahun dahulu, Almarhumah sudah lama aktif di sini.

“Boleh saya katakan Almarhumah adalah aktivis sepenuh masa. Sudah lebih 20 tahun aktif semenjak saya baru pulang daripada Mesir dan mula aktif dalam PAS Jasin dahulu.

“Bermula Dewan Muslimat dan juga berkhidmat sebagai guru PASTI, seterusnya dalam AJK PAS kawasan Jasin selama hampir tiga penggal. Sehingga akhir hayatnya. Pengorbanan beliau hebat dan boleh dijadikan contoh.

“Kerana saban kali program kalau kita buat, sama ada peringkat kawasan, peringkat negeri, bahkan program-program besar di peringkat PAS Pusat beliau akan hadir dengan memandu kereta sendiri bersama-sama dengan sahabat-sahabatnya,” ujar beliau lagi.

Almarhumah kembali ke rahmatullah pada 4.34 petang Isnin di Hospital Melaka akibat menghidap beberapa penyakit kritikal antaranya serangan jantung, Dermatomyositis dan pernah dijangkiti Covid-19 semasa dalam rawatan di hospital.

Almarhumah meninggalkan suami bersama tujuh orang anak dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ayer Barok pada jam 11 pagi tadi. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -