Usah siram Musang King guna air dirawat

Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor
- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Pengusaha ladang durian Musang King dan Duri Hitam dinasihat mencari alternatif lain menggunakan air yang belum dirawat untuk menyiram tanaman mereka pada musim kemarau sekarang.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan menggunakan air yang dirawat menyebabkan berlaku tekanan rendah dan kesannya pengguna di hujung paip akan mengalami gangguan bekalan air.

- Advertisement -

“Pada musim kemarau kelazimannya simpanan air untuk kegunaan keesokannya dilakukan dari jam 1 hingga 6 pagi. Tetapi ada trend menyiram pokok pada musim kemarau.

“Aktiviti itu akan menyebabkan air akan menyusut ketika tempoh simpanan dan mengakibatkan tekanan air menjadi rendah.

“Jadi sebaiknya aktiviti menyiram terutama ladang durian menggunakan altenatif lain termasuk air yang belum dirawat,” kata beliau pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri berusaha memulihkan gangguan bekalan air di Kedah dengan membina lima Loji Rawatan Air (LRA) selain pemulihan kadar air tidak berhasil (NRW).

Menurutnya sejumlah RM900 juta akan diperuntukan untuk pemulihan NRW yang dijangka siap pada 2024.

“Pemulihan NRW dan siapkan lima LRA perlu seiring. Tidak bermakna siap LRA kalau paip dan infrastruktur masih lama. Ia akan mengakibatkan kadar kehilangan air lebih tinggi.

“Jadi kedua-duanya perlu seiring. Lima LRA (melibatkan kos RM931 juta) dijangka siap sepenuhnya 2023 dan pemulihan NRW pada 2024,” ujarnya.

Katanya, sasaran penurunan NRW sebanyak 25 peratus dijangka akan berlaku dalam tempoh 15 tahun, di mana kerajaan melantik syarikat yang akan bekerjasama dengan Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk mengatasi masalah terbabit.

Sanusi juga berkata, perkhidmatan lori tangki menghantar bekalan air digerakkan ke kampung-kampung yang terputus bekalan dan lokasi mengalami tekanan rendah. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -