‘Saya akan pergi, Mak Piah carilah pengganti saya’

Mak Piah
- Advertisement -

Oleh IBNU JANIE | Foto HANIFF ABD RAHIM

JASIN:
Veteran Muslimat PAS Melaka, Shopia Ahmad, 73, tidak akan dapat melupakan perbualannya bersama dengan Almarhumah Ustazah Siti Khadijah Shaari, 52, yang seperti sudah menjangka bahawa masanya sudah hampir tiba untuk menghadap Ilahi.

“Masa itu dia kata pada saya ‘satu hari nanti saya akan pergi. Mak Piah akan tinggal, Mak Piah kena cari ganti,” ujar Shopia yang lebih dikenali sebagai Mak Piah dalam kalangan aktivis PAS Melaka.

Menurut Mak Piah kata-kata itu diucapkan Almarhumah yang juga merupakan Naib Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Jasin beberapa bulan lepas semasa mereka bersama dalam kereta ketika dalam perjalanan menghadiri program.

- Advertisement -

“Saya terasa pemergian dia, saya ‘hilang sebelah kaki’. Sudah 20 tahun bersahabat. Pergi ke mana-mana bersama-sama,” ujarnya lagi.

Menurut Mak Piah, Almarhumah selama ini adalah seorang yang kerap membantu membawa beliau untuk menghadiri program-program parti.

Almarhumah Ustazah Siti Khadijah Shaari yang juga merupakan AJK PAS Kawasan Jasin dan seorang guru PASTI meninggal dunia pada jam 4.34 petang semalam akibat beberapa penyakit kritikal yang dihidapinya.

Mak Piah turut bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk berada di samping Almarhumah ketika Almarhumah menghembuskan nafas terakhir di wad ICU Hospital Melaka.

“Dia pergi dengan begitu tenang. Mak Piah membacakan Yasin dan mengucapkan selamat pergi kepadanya. Mudah-mudahan dia dimasukkan Allah SWT ke dalam syurga.

“Dari pukul 2.30 hingga 4.30 petang semalam di ICU. Itulah pemergian seorang sahabat yang saya lihat dia sehingga akhir hayatnya,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -