Perkukuh institusi keluarga dengan acuan Islam

- Advertisement -

MUTAKHIR ini pelbagai isu kemasyarakatan menjengah kehidupan kita yang boleh menyebabkan kebimbangan berterusan di kalangan kita. Dari sekecil-kecil isu sehingga isu besar yang turut melibatkan kesalahan jenayah.

Dalam keadaan negara kita Malaysia khususnya dan dunia umumnya masih berhadapan dengan musibah COVID-19, terdapat beberapa isu menggemparkan negara yang terpanggil untuk berkongsi pandangan dalam kita merungkai dengan solusi Islam.

- Advertisement -

Antaranya berkaitan isu buli murid di asrama sekolah MRSM malah dipercayai turut berlaku di tempat lain termasuk di universiti sebelum ini. Kemudiannya melibatkan zina, kecurangan rumahtangga dan aib suami isteri yang didedahkan di khalayak umum.

Berlanjutan pula dengan isu moral dan maruah wanita Islam dengan ‘trend’ pasangan pengantin baru membuat tayangan video sesi ‘unboxing’ isteri. Ada pula berbangkit selepas itu isu subjek pendidikan agama Islam sudah tidak perlu diajar di sekolah atau pusat pengajian.

Terdapat dua perkara besar yang mesti diambil tindakan penambahbaikan iaitu pertamanya sikap ‘tabayyun’ terhadap berita yang disebar agar tidak menjadi fitnah berpanjangan. Keduanya mesti dikenalpasti punca pokok daripada akarnya yang  perlu dibaiki secara keseluruhannya.

Firman Allah S.W.T dalam surah al-Hujurat, ayat 6 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Maka, apa solusi dan tindakan yang perlu diambil adalah dengan memperkukuh institusi keluarga dengan acuan Islam yang sebenar bermula dengan tiga perkara utama yang perlu diberi penekanan malah diistilahkan dalam pengurusan sebagai ‘KPI’ wajib laksana.

Pertamanya mestilah ‘menjaga solat’ terutamanya mendirikannya lima waktu sehari semalam dengan sempurna. Kadang-kadang ada dikalangan hanya mengambil mudah tentang solat di hujung-hujung waktu atau dengan sengaja meninggalkannya tanpa uzur syarie yang dibenarkan.

Maksud Firman Allah S.W.T:

“(Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; “Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; “Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, “Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini”.”

(al-Muddatstsir: 42-47)

Solat adalah ibadah pertama yang akan disoal Allah S.W.T kepada hambanya menunjukkan betapa pentingnya dan besarnya nilai terhadap kehidupan manusia di dunia ini. Ibadat solat yang dijaga dengan sempurna apabila wujudnya ‘habluminnallah’ iaitu hubungan manusia dengan Allah, maka ‘hablumminannas’ akan terwujud dengan sendirinya.

Apabila seorang suami atau ayah menjaga solat dengan disempurna, kemudiannya memastikan isteri dan anak-anaknya juga menyempurnakannya, InsyaAllah rahmat Allah S.W.T hadir dalam kehidupan rumahtangga tersebut. Ditambah pula dengan turut mengamalkan solat-solat sunat yang akan melengkapinya.

Keduanya hendaklah melazimi amalan ‘membaca al-Qur’an’ setiap hari mengikut kemampuan malah berusaha menambahnya dari sehari ke sehari secara istiqamah atau konsisten. Bermula dengan membaca, kemudian menghafaz dan belajar memahami isi Al-Qur’an untuk diamalkan.

Jadinya, apabila Al-Qur’an sentiasa membasahi bibir dan terisi di hati akan menghindarkan daripada perbuatan keji dan maksiat. Malah Allah S.W.T akan memberkati kehidupan mereka yang sentiasa berdampingan dengan Al-Qur’an kerana ianya fitrah kejadian manusia memerlukan pedoman hidup.

Maksud Firman Allah S.W.T dalam surah al-Jaathiyah, ayat 20:

“Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang membuka matahati manusia, dan menjadi hidayah petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).”

Terapkan amalan membaca Al-Qur’an di kalangan ahli keluarga dengan membetulkan hukum tajwidnya, makhraj huruf serta banyak lagi cabang dan disiplin ilmu Al-Qur’an termasuklah tarannum, qiraat dan sebagainya. Ianya juga akan lebih mengeratkan silaturrahim kekeluargaan dan mampu menghindari perbuatan mungkar. 

Ketiganya dengan ‘membudayakan ilmu’ melalui perkongsian maklumat dan hasil dapatan melalui pengajian khusus dengan guru atau pengalaman sebuah kehidupan. Bagi seorang suami atau ayah dan anak lelaki boleh mengikuti kuliah ilmu di Masjid dan Surau setiap hari.

Seterusnya dibawa balik ke rumah berkongsi dengan isteri dan anak-anak yang lainnya dalam suatu halaqah yang turut mengukuhkan institusi kekeluargaan apabila saling cakna sesama ahli keluarga. Malah pengalaman hidup seharian dikongsi rasa gembira dan sedih agar saling melengkapi.

Maksud Firman Allah S.W.T dalam surah al-Asr, ayat 1-3:

“Demi Masa!. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Jelas untuk kita semua bahawasanya kita semua boleh tergolong dalam kalangan orang-orang yang rugi jika tidak dimanfaatkan masa yang ada dengan beramal soleh kerana ianya juga menjadi ukuran keimanan kita kepada Allah S.W.T.

Semua orang jika ditanya pasti menjawab ingin masuk ke syurga tetapi sudahkah kita mempersiap diri untuk melayakkan diri menjadi ahli syurga dan kekal di dalamnya buat selama-lamanya. Kembalilah kepada ajaran Islam yang sebenar, bukannya menggugurkan pendidikan agama Islam di sekolah atau pusat pengajian sebaliknya dipergiat lagi usaha bermula daripada dalam rumah.

Marilah kita bermuhasabah bersama dan berusaha memainkan peranan masing-masing dengan sebaik-baiknya khususnya dalam membentuk individu Muslim, keluarga Muslim dan masyarakat Muslim sebagai persediaan merealisasikan negara Islam yang akan memberi kesejahteraan buat kita semua, InsyaAllah.

“Legasi Perjuangan”
“Memacu Perpaduan”

HAFEZ SABRI
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -