Ketegangan di Ukraine: AS arah 8,500 tentera berjaga-jaga

Tentera udara dari Skuadron Pelabuhan Udara ke-436 menyediakan peralatan ketenteraan termasuk peluru, senjata dan lain-lain untuk dibawa ke Ukraine semasa misi penjualan peralatan ketenteraan di Pangkalan Tentera Udara Dover, di Delaware, Amerika Syarikat pada 21 Januari 2022. (FOTO Tentera Udara AS melalui REUTERS)
- Advertisement -

WASHINGTON: Tentera AS meletakkan kira-kira 8,500 tenteranya dalam keadaan berjaga-jaga untuk bersedia bagi ditempatkan di Eropah jika diperlukan, dalam usaha terbaharu untuk meyakinkan sekutu Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang khuatir dalam menghadapi penambahan tentera Rusia di sempadan Ukraine.

Walaupun keputusan itu tidak meningkatkan sokongan AS kepada Ukraine, yang bukan sebahagian daripada pakatan NATO, ia menggariskan persediaan NATO yang semakin meningkat untuk apa yang Washington dan Kyiv percaya sebagai langkah Rusia untuk mengerahkan tenteranya dalam menghadapi potensi pencerobohan ke atas Ukraine.

- Advertisement -

Jurucakap Pentagon, John Kirby berkata, sebahagian besar daripada 8,500 tentera AS sudah dimaklumkan mengenai arahan bagi sedia untuk ditempatkan supaya mereka boleh mengisi barisan pasukan tindak balas pantas NATO, sekiranya perikatan memanggil mereka untuk bertugas.

“Apa yang berlaku sekarang ialah menyediakan mereka (tentera) pada tindakan jangkamasa pendek. Hari ini, kami tidak bercakap tentang perintah penempatan (di Ukraine). Kami belum menerima arahan untuk perkara tersebut,” ujar Kirby.

Perikatan menggambarkan Pasukan Tindak Balas NATO (NRF) sebagai ‘pasukan multinasional yang sangat bersedia dan berteknologi maju yang terdiri daripada komponen darat, udara, maritim dan Pasukan Gerak Khas (SOF) yang boleh digunakan oleh pakatan itu dengan cepat, di mana sahaja diperlukan’.

NATO mempertingkatkan NRF pada tahun 2014 dengan mewujudkan ‘kuasa juang’ di dalamnya, yang dikenali sebagai Pasukan Petugas Bersama Kesediaan Sangat Tinggi (Very High Readiness Joint Task Force) .

Tentera AS dimaklumkan mengenai arahan sedia untuk ditempatkan pada hari Isnin (24 Jan) termasuk pasukan tempur briged tambahan, kakitangan logistik, sokongan perubatan, sokongan penerbangan, dan pasukan tentera yang terlibat dengan misi risikan, pengawasan dan peninjauan.

Pengumuman itu dibuat pada hari yang sama NATO berkata ia meletakkan pasukan tentera dalam keadaan bersiap sedia dan memperkukuh Eropah timur dengan lebih banyak kapal dan jet pejuang, dan juga boleh menghantar tentera tambahan ke sayap tenggaranya, dalam apa yang dikecam Rusia sebagai peningkatan ketegangan ke atas Ukraine.

Setakat ini, NATO mempunyai kira-kira 4,000 tentera dalam batalion multinasional di Estonia, Lithuania, Latvia dan Poland, disokong oleh kereta kebal, pertahanan udara dan unit risikan dan pengawasan.

Terdahulu Rusia menafikan merancang pencerobohan ke atas Ukraine, tetapi Moscow kini memetik tindak balas Barat sebagai bukti untuk menyokong naratifnya bahawa Rusia sebenarnya adalah sasaran. – Agensi

- Advertisement -