Kakitangan KEMAS boleh terbabit semua parti politik

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

GUA MUSANG:
Guru dan penyelia Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bukan kategori pangkat gred DG dan mereka dibenarkan berpolitik seperti sebelum ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato’ Seri Mahdzir Khalid berkata, kebenaran itu adalah bersifat mengembalikan semula peraturan lama yang digunapakai sebelum ini.

Katanya, kebenaran itu dianggap tidak menimbulkan sebarang masalah kerana ia sudah diamalkan sebelum ini.

- Advertisement -

“Guru kemas tiada masalah, sejak dahulu lagi mereka terbabit dalam politik. Bagaimanapun pada era Pakatan Harapan mereka keluarkan pekeliling larangan terbabit dengan politik.

“Jadi sekarang bukan zaman PH, kita kembali semula peraturan seperti sebelum ini,” katanya pada kenyataan petang semalam.

Sebelum itu beliau menyampaikan Amanat Tahun Baru Lembaga Kemajuan Kelantan (KESEDAR) di Ibu Pejabat KESEDAR dekat sini.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, keputusan membenarkan kakitangan KEMAS berpolitik dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi.

Mahdzir juga berkata, pembabitan guru KEMAS dalam politik bukan satu perkara baharu, sebaliknya penglibatan itu dibolehkan sejak dahulu lagi.

“Kalau sebut parti politik, maksudnya aktif dalam semua parti politik, ada yang sokong kerajaan dan ada juga yang sokong pembangkang,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kebenaran itu berlainan dengan guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang mempunyai struktur perjawatan membabitkan jawatan di peringkat pengurusan.

Kata beliau guru-guru yang tidak memegang jawatan pengurusan, paling ramai gred DG41 hingga DG54.

“Dalam perkhidmatan guru tidak banyak yang boleh naik hingga ke Jusa sebab tidak banyak perjawatan itu, jadi mereka akan berhenti setakat DG54.

“Tetapi kalau DG54 dia bertugas sebagai pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau pengetua ada masalah sikit kalau mereka pegang jawatan dalam politik,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/2022

- Advertisement -